More
    Home Sarawak Samarahan Janji Kerajaan Negeri Sarawak Untuk Menambah Feri Ketiga Ditunaikan

    Janji Kerajaan Negeri Sarawak Untuk Menambah Feri Ketiga Ditunaikan

    Sebuyau, Samarahan,16 April 2019 (SNN) – Janji Kerajaan Negeri untuk menambah feri ketiga ditunaikan. Semua pengguna feri Sebuyau-Triso akhirnya boleh menarik sedikit nafas kelegaan apabila feri ketiga yang telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak mula beroperasi bermula dua hari yang lepas (14 April 2019), demikian menurut Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, Datuk Haji Julaihi Haji Narawi, yang juga merangkap ADUN N27 Sebuyau.

    “Ingin saya maklumkan bahawa sebuah lagi feri tambahan berkapasiti 32 kenderaan telah memulakan operasinya pada 14 April 2019 (Ahad) menjadikan jumlah keseluruhan tiga (3) feri beroperasi di Pengkalan Feri Sebuyau Triso dengan masa perkhidmatan dari jam 8:00 pagi hingga 10:00 malam (14 jam),” kata Julaihi.

    Julaihi yang berucap pada Majlis Taklimat Keselamatan Operasi Feri bersama komuniti setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini turut berkata, operasi feri ketiga ini mampu mengurangkan masa menunggu pada waktu puncak daripada 4 jam setengah kebiasaannya kepada 2 jam.

    Menurut Julaihi lagi, tiga buah feri yang beroperasi ini bagi mengurangkan kesesakan yang ditampung oleh dua buah feri yang sedia ada sebelum ini. Diharapkan dengan penambahan ini dapat mengurangkan  masa menunggu terutama sekali pada musim perayaan dan hujung minggu selain keperluan untuk menyeberang Sungai Batang Lupar di laluan Sebuyau/Triso di laluan Jalan Pesisir Sarawak. Sehubungan itu beliau berkata kerajaan Negeri Sarawak di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa peka dengan keperluan rakyat.

    Operasi feri di Pengkalan Feri Sebuyau Triso ini berada di laluan Jalan Pesisir Sarawak yang menghubungkan kawasan Sebuyau di Samarahan dan Triso-Maludam-Pusa di Bahagian Betong.

    Perkhidmatan Feri Sebuyau-Triso dilihat semakin sibuk selepas siapnya dua (2) jambatan di Bahagian Samarahan iaitu Jambatan Batang Sadong di Kampung Sungai Buloh yang telah digunakan sejak Disember 2016 dan Jambatan Samarahan yang mula digunakan pada Julai 2018.

    “Kenderaan yang menggunakan perkhidmatan feri ini meningkat pada suku ke-4 tahun 2018 selepas siapnya jambatan Samarahan pada tahun lepas. Statistik bulanan suku ke-4 2018, mencatat sejumlah 31,331 kenderaan pada Oktober 2018, meningkat kepada 33,427 pada November 2018 dan seterusnya sejumlah 43,933 kenderaan dicatat pada Disember 2018 menggunakan perkhidmatan feri ini,” tambah beliau.

    Julaihi kemudiannya turut melakukan lawatan tapak ke Pengkalan Feri Sebuyau Triso selepas selesai Majlis Taklimat Keselamatan Operasi Feri bersama komuniti setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki; Setiausaha Tetap Kementerian MIDT, Datu Safri Zainuddin; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Buang Bolhassan; Residen Samarahan, Haji Brahim Lumpu dan beberapa jemputan yang lain.

    Julaihi semasa berucap pada Majlis Taklimat Keselamatan Operasi Feri bersama komuniti setempat di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Lelaki lemas dipercayai selamatkan kekasih ditemui pada hari ketiga SAR

    0
    KUCHING, 17 JANUARI 2021 (SNN) : Misi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dihanyut oleh air deras di Sungai Sarawak...