124 Warga Pendidik Daerah Saratok Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

0
401
Chee Kadir bersama semua penerima anugerah dan tetamu jemputan yang hadir pada Majlis Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Peringkat Daerah Saratok , bertempat di RH Hotel, Sibu

Sibu, 16 April 2019 (SNN)- Seramai 124 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dari kalangan warga pendidik di Daerah Saratok diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 Peringkat Daerah Saratok  2019, bertempat di RH Hotel, Sibu semalam. Selain itu penyampaian Sijil Hari Guru kepada 53 buah sekolah dan penyampaian tiga Anugerah Khas turut disampaikan.  Majlis dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Mohd Chee Kadir , ADUN N. 40 Kabong yang hadir bersama isteri beliau.

Anugerah Khas diberikan kepada Nur Effifa Binti Taip dari SK St. Paul Roban bagi Anugerah Khas Inovasi PdPC, Anugerah Khas Guru ADIWIRA pula penerimanya adalah Ustaz Mohd Nazmi Bin Jaafar dari SK Abang Leman Kabong, dan anugerah terakhir iaitu Anugerah Khas Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan kepada Tuan Haji Bujang Bin Haji Lee dari SK Abang Leman Kabong. 

Menurut Chee Kadir, sambutan Perayaan Hari Guru dan Majlis APC merupakan acara tahunan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh warga penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan. 

“Pemilihan  calon  penerima  Anugerah  Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini adalah berpandukan kepada markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) Tahun 2018 yang mana pada hari ini kita meraikan seramai 123 orang warga Pendidikan yang dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2018”, tambah Chee Kadir.    

“Kepada mereka yang tidak terpilih menerima APC 2018, bukanlah bermakna prestasi saudara dan saudari tidak cemerlang tetapi terikatnya kita kepada kuota penerima APC yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi 8% daripada jumlah keseluruhan pengisian jawatan pegawai dan anggota pada 31 Disember 2018.  Justeru anugerah ini perlu dijadikan sebagai motivasi utama di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah bersama”, katanya lagi.

Chee Kadir bersama sebahagian penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018

Guru merupakan insan yang bertanggungjawab mencorakkan generasi pada hari ini mengikut acuan dan aspirasi yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Dalam hal ini, guru merupakan  modal insan yang dapat memainkan peranan sebagai warganegara yang cemerlang dan bersama-sama kerajaan untuk membina negara bangsa yang menjadi harapan kepada semua pihak. Justeru, ketidakselarian antara tindakan dan hala tuju di baris hadapan akan mengakibatkan kepincangan dalam keseluruhan organisasi. Oleh sebab itulah guru harus menjadi kumpulan pelaksana yang sentiasa jujur dan taat setia kepada ketuanya iaitu kerajaan yang menerajui negara. Jika hal ini dapat disuburkan dalam diri setiap guru, maka kemenjadian murid akan dapat direalisasikan.

Chee Kadir turut menyeru supaya amalan sikap seronok bekerja, bertanggungjawab dan integriti dibudayakan dengan mengamalkan sikap penuh amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan masing-masing.

Majlis tersebut turut meraikan golongan pendidik yang akan bersara sebagai mengenang khidmat bakti yang telah dicurahkan mereka kepada masyarakat amnya dan perkhidmatan awam amnya. Majlis Jasamu Dikenang yang turut diselit dalam majlis ini juga dianggap sebagai penghargaan daripada kerajaan terhadap khidmat bakti yang telah dicurahkan dengan penuh komited di sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai. Seramai 3 orang guru besar yang bakal bersara dalam tahun 2019 yang berkhidmat di Daerah Saratok diraikan dalam Majlis Jasamu Dikenang ini.

“Walaupun usia bersara ini dianggap sebagai penamat kerjaya tetapi persaraan bukan sebuah pengakhiran untuk kita kerana persaraan itu hanyalah dalam konteks perkhidmatan sebagai seorang penjawat awam. Persaraan yang dihadapi ini hanya melepaskan seseorang penjawat awam dari peraturan dan ikatan sebagai kakitangan kerajaan”, ujar Chee Kadir lagi. 

Chee Kadir turut berharap kepada bakal pesara, bahawa segala kemahiran, kepakaran dan pengalaman yang diperoleh semasa berkhidmat dalam perkhidmatan awam boleh menjadi aset untuk terus aktif dan menggapai lebih banyak kejayaan selepas persaraan. Dalam pada itu, katanya, kerajaan tidak melupakan budi dan jasa tuan-tuan dan puan-puan dengan memberi faedah-faedah persaraan iaitu pencen bulanan, ganjaran persaraan, gantian cuti rehat dan faedah perubatan”. Justeru, beliau menyarankan agar semua faedah-faedah persaraan tersebut digunakan dengan sebaiknya. 

Sebelum mengakhiri ucapannya Chee Kadir turut menyentuh berkenaan Hari Guru yang merupakan sambutan untuk menunjukkan penghargaan terhadap para guru atas sumbangan bakti dan khidmat murni kepada masyarakat dan negara. Tema Hari Guru 2019, iaitu ‘Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi’ telah dilancarkan pada 21  Mac 2019. Tema ini membawa pengertian bahawa guru dan murid berpisah tiada demi menjadikan pelajar yang berjaya selain memartabatkan profesion perguruan kerana jasa seorang guru tiada ternilai, katanya.

Beliau kemudiannya merakamkan ucapan ‘Selamat Hari Guru’ dan mengucapkan terima kasih kepada semua warga pendidik di daerah Saratok .  Beliau berharap semua guru dapat menjadi pendidik yang berjaya memartabatkan profesion keguruan ke tahap yang cukup tinggi dan mulia. “Kemenjadian murid pada hari ini sudah pasti bertunjangkan bimbingan guru yang mendidik dengan penuh keikhlasan dan kesabaran. Semoga para guru sekalian akan terus dilimpahi rahmat dan diberikan keupayaan oleh Allah SWT untuk terus istiqamah menabur benih-benih ilmu dalam usaha melahirkan  insan di ladang pendidikan yang subur ini”, katanya mengakhiri ucapan.

Turut hadir pada majlis tersebut, Encik Anis Bin Madeli, Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Tuan Haji Rasdan Bin Haji Mohd. Hazemi, Pegawai Daerah Kabong, Pengetua dan Guru Besar Daerah Saratok, Penyelia dan Penolong Penyelia di Pejabat Pendidikan Daerah Saratok.

Chee Kadir semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Guru dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 Peringkat Daerah Saratok  2019

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here