Betong, 16 April 2019 (SNN)- Penduduk Beting Maro pelajari ilmu dan kemahiran teknologi melalui program ‘Bukan Sekadar Berambeh’ yang merupakan program turun padang Kolej Cosmopoint Kuching melalui perkongsian ilmu serta kemahiran dengan masyarakat luar bandar bagi memastikan jurang pengetahuan dan teknologi dapat didekatkan.

Pengarah program Mohamad Syahrimin Sahadan memberitahu, program ini merupakan inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kolej untuk merakyatkan ilmu dan kemahiran.

“Justeru, fokus utama kolej untuk membawa ilmu dan kemahiran serta kepakaran yang kita ada ke kawasan luar bandar, Beting Maro amnya dan Kampung Semarang khasnya.

Maka tidak hairan program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti, bengkel, seminar dan juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang disertai 19 pelajar dan enam kakitangan kolej. Menurut Syahrimin, program yang mencedok konsep anak angkat ini diisi dengan pelbagai aktiviti keilmuan dan setiap program yang dilaksanakan turut membawa objektif yang berasingan, yang memberi tumpuan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat kampung.

Sementara itu Ketua Eksekutif Kolej Cosmopoint Kuching Julia Bujang melahirkan rasa berpuas hati terhadap penganjuran yang disifatkan mencapai objektif.”Saya sangat berpuas hati dengan penganjuran dan ini merupakan julung kalinya pihak kolej bekerjasama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor. Alhamdulillah beliau begitu teruja dengan setiap aktiviti yang dianjurkan. Maka saya berharap agar program seperti ini dapat dilaksanakan di tempat-tempat lain sebagai usaha memanjangkan atau menyebar luas ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh tenaga mahir dari Kolej Cosmopoint Kuching,” ujarnya.

“Saya nampak keakraban hubungan pelajar dan penduduk kampung yang terjalin bagi memastikan segala ilmu yang dikongsi semasa program mudah diamal serta diaplikasikan oleh golongan sasar,” tambahnya. Begitu juga di pihak kolej menurut Julia, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat memberi pendedahan kepada wakil pelajar yang merupakan pemimpin di kolej untuk menjadi ketua kepada generasi akan datang berkenaan kepentingan ilmu dan kemahiran demi pembangunan masyarakat.

Beliau dalam pada itu menyatakan, Kolej Cosmopoint Kuching merupakan institusi pengajian tinggi yang sudah bertapak di dalam industri pendidikan tinggi selama lebih 25 tahun. Kumpulan Cosmopoint memiliki 11 cawangan di seluruh negara dan Kuching merupakan satu-satunya cawangan yang terdapat di Sarawak yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu.

“Kolej Cosmopoint Kuching menawarkan program pengajian di peringkat Diploma di dalam lapan bidang iaitu Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Aplikasi Multimedia, Diploma Senireka Grafik Berkomputer, Diploma E-Kesetiausahaan, Diploma Perakaunan, Diploma Pengurusan Perniagaan, Diploma E-Perniagaan dan terbaru ditawarkan, Diploma Pengurusan Pelancongan. Kesemua program tersebut mendapat pengiktirafan kerajaan melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta mendapat penarafan Empat Bintang oleh MyQuest,” jelasnya.

Sebahagian pelajar dan keluarga angkat Program ‘Bukan Sekadar Berambeh’

Bagi Razaili pula, kedatangan warga kolej ke kawasan Beting Maro disambut baik oleh komuniti kampung.”Orang kata besar telapak tangan, nyiru kami tadahkan. Ini membuktikan ada usaha untuk membangunkan Beting Maro melalui perkongsian ilmu dan kemahiran daripada mereka yang berpengetahuan dan berpengalaman”.

“Saya berterima kasih kepada pihak Kolej Cosmopoint Kuching kerana saya difahamkan pelbagai aktiviti disusun atur sepanjang Bukan Sekadar Berambeh ini.Saya yakin penduduk Kampung Semarang dan kampung-kampung lain yang terlibat mendapat manfaat besar. Saya menyeru agar penduduk kampung khususnya anak muda dapat menggunakan sebaiknya ilmu serta kemahiran yang dikongsikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mengharap program ini dapat membantu menyampaikan ilmu pengetahuan sekaligus merapatkan jurang kemahiran teknologi di antara penduduk kawasan luar bandar sekaligus menjadi wadah kepada apresiasi budaya dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Malah ujarnya, program seperti ini​ turut sama menyumbang kepada pembentukan sahsiah diri masyarakat dan generasi muda yang penting untuk kesejahteraan negara mahupun negeri.

Sepanjang tiga hari tersebut, pelbagai program dilangsungkan melibatkan kira-kira 200 penduduk antaranya, simbolik penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat, bengkel pembuatan makanan tradisional, pemasaran produk alaf baharu, penanaman anak pokok bakau, seminar pengurusan inap desa, penulisan surat rasmi serta pengurusan dokumen, malam kebudayaan, pertandingan tandak Melayu klasik dan hari bersama pemimpin.

Penghulu Kampung Semarang Sardon Sebli turut mengajak penduduk kampung untuk bersama-sama membangunkan minda bagi menempuhi cabaran alaf baharu masa hadapan.Hadir sama pada majlis tersebut, Ketua Kampung Semarang Suria Azmi.

Pertandingan tandak Melayu klasik merupakan salah satu pengisian program
‘Bukan Sekadar Berambeh’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here