Golongan Muda Disaran Ceburi Bidang Pertanian

0
101
Dr Abdul Rahman dan Razaili Gapor bersama penduduk kampung ketika lawatan kerja Kampung Tambak di sini

Beting Maro, 17 April 2019 (SNN)-  Golongan muda di negeri ini disaran berkecimpung dalam bidang pertanian kerana sektor berkenaan mampu menjana pendapatan lumayan. Menteri Muda Pertanian Sarawak, YB Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sektor pertanian kini penting kerana ia boleh meningkatkan pengeluaran sumber makanan sekaligus meningkatkan pendapatan golongan terlibat.

“Kerajaan dulu pernah menguar-uarkan sehingga dijadikan slogan, Pertanian adalah Perniagaan.Justeru, kita semua harus sedar bahawa pertanian adalah satu aktiviti utama negeri pada masa kini dan masa depan,” katanya.

Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kerajaan negeri kini giat menjadikan DUN Beting Maro sebagai pusat pengeluaran makanan sekaligus bertukar wajah menjadi hab makanan pertanian pada masa depan. Menurutnya, pelbagai projek sedang dilaksanakan antaranya dalam bidang pertanian seperti industri berasaskan akuakultur, apong, tanaman nanas, padi dan lain lagi.

“Kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan akan terus menyalurkan bantuan untuk merancakkan aktiviti pertanian di sini dan kawasan lain di seluruh negeri ini. Ini adalah untuk merealisasi wawasan YAB Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg bagi menjadikan Sarawak sebagai pengekspot bersih produk berasaskan pertanian menjelang tahun 2030,” katanya.

Dr Abdul Rahman yang juga ADUN N.79 Bukit Kota memberitahu, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat Dan Pembangunan Wilayah sedang giat menggalakkan para petani serta usahawan tani menggunakan teknologi moden ini sebagai alternatif kepada sistem konvensional. Katanya, penggunaan teknologi moden dalam industri pertanian mampu menghasilkan pengeluaran tanaman yang berkualiti tinggi dan dalam kuantiti yang banyak.

“Justeru, golongan muda perlu berani menyertai industri pertanian bagi meningkatkan pendapatan di samping menjamin keselamatan makanan negeri ini. Perlu diingatkan, pertanian harus dijalankan dengan cara komersil, bukannya lagi hanya cukup makan sahaja bagi diri dan keluarga sahaja,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja Kampung Tambak dan kolam udang perikanan dekat sini hari ini. Hadir sama, ADUN N.29, Beting Maro, YB Razaili Gapor.

Sementara itu, Razaili pula memberitahu, beliau memiliki keazaman untuk membawa pelbagai pembangunan industri berskala besar di kawasan itu. Katanya, sehingga kini banyak kemajuan berjaya dibawa oleh kerajaan untuk dikecapi rakyat di Beting Maro. “Saya yakin industri agro makanan yang sedang dibangunkan di Beting Maro akan memberi satu kejayaan kepada masyarakat di sini kelak,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman dan Razaili Gapor semasa melakukan lawatan kerja ke kolam udang perikanan dekat sini hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here