Endowment Fund Sarawak Sedia RM42 Juta Setahun Untuk Anak Sarawak

0
168
Anak Sarawak mulai tahun 2019 bakal terima RM1000

KUCHING, 19 Mac 2019 (SNN)- Endowment Fund Sarawak (EFS) menyediakan sebanyak RM42 juta setahun untuk anak Sarawak. Ini merupakan satu dasar sosial baharu kerajaan Sarawak dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri ini. Ia adalah seiring dengan pengumuman peruntukan sebanyak RM42 juta setahun yang diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg mengenai EFS pada ucapan Belanjawan Negeri 2019 tahun lepas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak Kanak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, EFS dijangka dapat memenuhi keperluan pasaran dari sudut digital ekonomi dan pembangunan sosio-ekonomi negeri.

Menurutnya, EFS juga merupakan sebahagian hasil daripada pelaksanaan cukai jualan ke atas produk petroleum yang dikongsi bersama rakyat negeri ini selaras dengan hasrat kerajaan Sarawak iaitu ‘Giving back to the Rakyat’ atau memberi balik kepada rakyat.

“EFS ini mampu mengurangkan beban ibu bapa bagi menampung pembelajaran anak-anak mereka setelah menjangkau usia 18 tahun.

Anak muda Sarawak juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian tinggi dan memulakan kerjaya melalui EFS ini yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban seperti tiket penerbangan dan yuran pendaftaran.

“Bagaimanapun sekiranya anak itu meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun, waris boleh mengeluarkan EFS untuk pengurusan jenazah dengan mengemukakan sijil kematian asal ke Bank Islam,” ujar Fatimah lagi.

Fatimah juga menambah, setiap anak Sarawak yang dilahirkan akan mendapat RM1,000 dan hanya boleh dikeluarkan selepas mencapai umur 18 tahun untuk tujuan pendidikan atau untuk tujuan bekerja bagi yang tidak berminat menyambung pelajaran.

Permohonan EFS boleh dibuat di Jabatan Pendaftaran di seluruh Sarawak iaitu pejabat pendaftaran peringkat bahagian dan daerah dengan mengisi borang yang perlu diisi dan dikembalikan kepada pejabat pendaftaran. Apabila ibu bapa mendaftar anak-anak di Jabatan Pendaftaran, pihak jabatan akan menyemak kelayakan bayi tersebut sama ada layak mendapat EFS dan kemudian jika layak, nama akan dihantar ke Bank Islam.

“Senarai akan dihantar dua kali dalam sebulan dan Bank Islam dipilih sebagai bank yang mengurus wang EFS dengan kadar 4.2 peratus setahun,” ujar Fatimah lagi.

Fatimah menambah, kementeriannya juga telah mencadangkan untuk memberi penerangan dari satu bahagian ke satu bahagian tentang objektif EFS serta proses dan prosedurnya.  Jelasnya, SOP telah disediakan untuk menjadi panduan di setiap pejabat pendaftaran dan Bank Islam.

“Perancangan dari semasa ke semasa adalah untuk membuat ‘roadshow’ dari satu bahagian atau daerah mengikut kesesuaian masa.

Manakala bagi penduduk Sarawak yang berada di luar negara boleh mendapatkan borang permohonan dari format ‘softcopy’ daripada Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak, Kuching dan borang permohonan lengkap tersebut perlu diposkan ke JPN Sarawak.  Ini berikutan hanya JPN Sarawak, Kuching sahaja yang  boleh memproses pendaftaran EFS. Manakala bagi mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia, mereka boleh mendaftar di Pejabat Pendaftaran yang paling dekat sekali.

“Sehubungan itu, saya berharap semua ibu bapa di Sarawak mengambil sepenuhnya peluang yang telah diberikan oleh Kerajaan Sarawak dengan memperuntukkan RM42 juta setahun ini. Uniknya EFS ini adalah kerana dana ini diberikan kepada semua anak Sarawak yang layak menerimanya tanpa mengira bangsa, agama, status sosio-ekonominya,” kata Fatimah. Sumber : UKAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here