Diarak Menaiki “Sungan” Bersama 3000 Penduduk Kabong, Ketua Menteri Rasmi 100 Tahun SK Abang Leman, Kabong.

0
1126
Ketua Menteri diarak menaiki usungan atau “sungan” bersama lebih 3000 penduduk Kabong

KABONG, 20 November 2019 (SNN): Diarak menaiki usungan atau “sungan” bersama lebih 3000 penduduk Kabong, Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak tiba dalam suasana yang unik, bersejarah dan meriah di Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong yang bertempat di RMT SK Abang Leman, Kabong.

Beliau hadir bersama ADUN N.40 Kabong Yang Berhormat En. Mohd Chee Kadir serta beberapa pemimpin yang lain bagi menyempurnakan Majlis Perasmian SK Abang Leman yang ditubuhkan pada tahun 1919 iaitu genap 100 tahun pada tahun ini.

Pada majlis ini, Ketua Menteri turut menyampaikan ucapan perasmian serta menyampaikan beberapa anugerah iaitu Anugerah Ikon Skal dan Anugerah Inspirasi serta turut mengumumkan kelulusan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan sebuah makmal komputer yang moden bagi kegunaan guru-guru dan para pelajar SK Abang Leman, Kabong.

Abang Jo disambut meriah oleh penduduk kampung terutama warga SK Abang Leman Kabong di Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah  Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong
Abang Jo semasa berucap di Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah  Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong bertempat di RMT SK Abang Leman, Kabong,

Sementara itu, Mohd Chee Kadir dalam ucapannya pula mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga  kepada Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak kerana sudi datang ke Kabong dan ke SK Abang Leman bagi merasmikan penubuhan 100 tahun sekolah ini.

Tidak lupa juga beliau mengalu-alukan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Sri Michael Manyin Anak Jawong, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi. Kehadiran pimpinan tertinggi ini adalah testimoni jelas betapa prihatinnya pucuk pimpinan Sarawak terhadap pendidikan di Sarawak.

Mohd Chee Kadir menambah, “keperihatinan Kerajaan Sarawak terhadap pendidikan khasnya dalam peruntukan untuk sekolah daif serta bina baru telah dibuktikan di mana, Kerajaan Sarawak bersedia untuk membuat bayaran pendahuluan sebanyak rm1 bilion secara berperingkat kepada Kerajaan Persekutuan bagi membaiki sekolah-sekolah daif di negeri ini”.

Perlaksanaan ini akan dilakukan melalui tiga peringkat iaitu untuk pembayaran pertama, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan rm350 juta, sementara fasa kedua berjumlah rm350 juta dan pembayaran ketiga rm300 juta, yang akan  dibayar masing-masing pada Januari dan Jun 2020.

“Sudah pastinya keperihatinan Kerajaan Sarawak harus kita puji kerana hasrat Kerajaan Sarawak mahu memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan di negeri ini”, ujarnya.


Mohd Chee Kadir turut sama berucap di Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah  Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong
Abang Jo memotong pokok nipah (apong) simbolik perasmian Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah  Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong

Mohd Chee Kadir turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri atas kesudian beliau meluluskan peruntukan untuk membina sebuah dewan serbaguna untuk SK Abang Leman.

Hadir sama pada majlis ini ialah  Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, ADUN N.38 Kalaka, Abdul Wahab Aziz, Residen Bahagian Betong, Friday Belik, Pegawai Pendidikan Daerah Saratok, Anis Madeli, Pegawai Daerah Kabong, Haji Rashdan Hazemi, Guru Besar SK. Abang Leman, Mokhtar Jaya , Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan, Ulin Tabor dan tetamu jemputan khas yang lain.

Abang Jo melambai kepada penduduk kampung dan pelajar sekolah yang meraikan kedatangan beliau ke Kabong
Kemeriahan lebih 3000 penduduk Kabong bersama-sama Abang Jo meraikan Majlis Perasmian Sambutan 100 Tahun Penubuhan Sekolah  Kebangsaan Abang Leman (SKAL), Kabong

Sejarah SK Abang Leman, Kabong

Sekolah Kebangsaan Abang Leman, Kabong (SKAL) ditubuhkan pada tahun 1919. SKAL telah melalui  empat era (zaman) dalam detik-detik sejarahnya iaitu Era Kesedaran Masyarakat (1919-1924), Era Kerajaan Brooke(1925-1947), Era Penjajahan British (1948-1963) dan Era Kerajaan Malaysia (1963 hingga sekarang).     

Pada mulanya sekolah ini telah dibina di Kampung Hulu Kabong dan ia dikenali sebagai Sekolah Melayu Kamantan. Pembinaannya dilakukan secara bergotong royong oleh penduduk kampung yang diketuai oleh Encik Abang Bujang bin Abang  Anding iaitu pegawai tadbir dalam Pemerintahan Brooke ketika itu.

Seramai 20 orang murid lelaki bersekolah di sini dengan guru pertamanya telah diundang khas dari Kuching Sarawak iaitu Cikgu Bojeng. Semasa Era Kerajaan Brooke, Charles Vyner Brooke telah tertarik dengan kemajuan yang ditunjukkan oleh Sekolah Melayu Kamantan ini.

Lantaran itu, sebuah bangunan baharu telah didirikan berhampiran bangunan lama yang didaftar sebagai Government School Kabong. Encik Abang Bujang bin Abang Anding, pegawai tadbir ketika itu telah melantik Cikgu Bujang bin Haji Keria sebagai guru besar. Kira-kira 50 orang murid telah belajar di sekolah baharu tersebut. Ini termasuklah beberapa orang murid perempuan.

Pada tahun 1931, bangunan baharu dibina pula di sebuah tapak yang sesuai, berdekatan dengan Fort Charles. Sekolah baru ini mula dikenali sebagai Sekolah Abang Leman iaitu bersempena nama bapa mertua Encik Abang  Bujang.

Pada tahun 1948, Sekolah Abang Leman telah diletakkan di bawah pentadbiran tempatan iaitu Kalaka Local  Authority. Pada waktu itu, jawatankuasa sekolah pertama ditubuhkan. Walaubagaimana pun, sehingga tahun 1958, pengambilan murid hanyalah setakat darjah empat. sementara  murid yang lulus cemerlang dalam penilaian darjah empat melanjutkan pelajaran mereka ke darjah 5 dan darjah 6 ke Sekolah Rendah Abang Abdul Rahman, Saratok.

Pada awal tahun 1950-an mata pelajaran Bahasa Inggeris mula diperkenalkan dengan kemasukan murid darjah satu seramai 69 orang.

Sekolah Rendah Abang Leman, Kabong telah menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar pada tahun 1971. Jumlah kelasnya telah bertambah daripada 14 buah kepada 22 buah kelas.

Pembangunan semakin giat dijalankan pada tahun 1981 dengan sebuah asrama dibina secara gotong royong bagi menampung 150 orang murid yang tinggal jauh dari sekolah. Persatuan Ibu Bapa  dan Guru (PIBG) sekolah ini juga telah ditubuhkan dengan pendaftaran rasminya dibuat pada bulan Julai 1988. Sehingga kini jumlah murid sekolah ini adalah 754 orang dan jumlah gurunya 59 orang. Sementara staf sokongannya berjumlah 13 orang.

Antara kejayaan SK Abang Leman Kabong adalah :

  1. Johan Peringkat Negeri Karnival Kokurikulum Asrama Sempena Anugerah Seri Asrama Terbilang (Pidato Bahasa Malaysia) Pada 20-23 Oktober 2013.
  2. Naib Johan Peringkat Kebangsaan Pertandingan Pidato Diraja Kali Ke-29 Pada 21-24 September 2013.
  3. Johan Peringkat Negeri Pertandingan Bicara Berirama Sekolah Rendah Pada 19-21 Jun 2013.
  4. Johan Peringkat Negeri Pidato Bahasa Melayu Asat 2013 Pada 24-27 September 2013.
  5. Johan Peringkat Negeri Pidato Bahasa Melayu Asat 2014 Pada 28 September 2014.
  6. Johan Peringkat Negeri Pertandingan Pidato Anugerah Seri Asrama Terbilang Asat Pada 1 Oktober 2016.
  7. Johan Peringkat Negeri Pertandingan Pidato Piala Diraja Karnival Bahasa Melayu Pada 14 Julai 2016.
  8. Johan Peringkat Negeri Pertandingan Bercerita Kisah Al-Quran Pada 17 Oktober 2016.
  9. Menyertai Aktiviti International Sean Community Programme (Iaicp) Skal – Institusi Pendidikan Indonesia Pada 31 Oktober 2018.
Bangunan SK Abang Leman, Kabong yang pertama dibina dan binaan ini masih kekal sehingga kini. Usia bangunan ini genap 100 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here