Lahirkan Bidadari Syurga Dalam Keluarga – Chee Kadir

0
1004
Mohd Chee Kadir dan isteri bergambar bersama Al Fadhil Ustaz Haji Sulaiman Bin Haji Kasim serta sebahagian peserta Kursus Pemerkasaan Kepimpinan Wanita : Bidadari Syurga bertempat di Surau Darul Ehsan, Kampung Sungai Pala, Kabong

KABONG, 19 November 2019 (SNN) : Sikap saling bekerjasama serta faham memahami antara satu sama lain dalam keluarga pasti akan mewujudkan suasana keluarga yang harmoni sekaligus melahirkan bidadari syurga dalam keluarga. Yang Berhormat Encik Mohd Chee Bin Kadir (ADUN N.40 Kabong) berkata demikian semasa menghadiri Majlis Penutupan Kursus Pemerkasaan Kepimpinan Wanita : Bidadari Syurga bertempat di Surau Darul Ehsan, Kampung Sungai Pala, Kabong pada jam 4.00 petang. Kursus ini dijalankan bermula jam 8 pagi sehingga jam 5 petang.

Dalam ucapannya Mohd Chee Kadir berkata, pembinaan sesebuah masyarakat adalah bermula daripada rumah iaitu dalam konteks keluarga. Umumnya mengetahui bahawa tugas fitrah seorang isteri ialah menyempurnakan urusan rumahtangga. Namun begitu, suami tidak boleh lepas tangan dan hanya bergantung kepada isteri semata-mata untuk mengurus hal-hal di dalam rumah. Suami tidak boleh berfikir bahawa kerja-kerja di rumah hanya akan merendahkan martabat lelaki.

Rasulullah SAW yang menjadi ikutan umat merupakan contoh terbaik sebagai seorang suami yang penuh bertanggungjawab. Baginda selalu membantu isteri-isterinya melakukan kerja-kerja rumah dan tidak menyusahkan mereka dengan melakukan pekerjaan yang boleh dilakukannya sendiri seperti menjahit pakaiannya yang koyak. Sesungguhnya, bantuan yang diberikan akan menambahkan lagi rasa kasih sayang serta penghargaan isteri terhadap suami. Bantuan tersebut adalah satu manifestasi kasih sayang yang akan menarik perhatian isteri terhadap suami dan keluarga seluruhnya

Bagi pihak isteri pula, mereka sepatutnya memahami keadaan suami sebagai ketua keluarga yang berperanan mencari nafkah untuk keluarga. Pelbagai cara boleh dilakukan oleh isteri untuk meringankan bebanan suami. Antaranya ialah dengan membantu menguruskan pelbagai urusan rumahtangga yang mudah seperti membantu membeli keperluan dapur dan urusan anak-anak ke sekolah, memberi sokongan moral dalam apa jua bidang yang diceburi oleh suami.

Isteri juga seharusnya tidak membebankan suami dengan urusan rumahtangga yang remeh-temeh. Dengan kata lain, isteri harus berperanan sebagai pembantu suami. Dengan kata lain “wanita merupakan sayap kanan bagi lelaki” dan “di sebalik kejayaan lelaki, adanya seorang wanita”, ujar Mohd Chee Kadir.

Antara sebahagian peserta kursus
Mohd Chee Kadir semasa berucap pada Majlis Penutupan Kursus Pemerkasaan Kepimpinan Wanita : Bidadari Syurga bertempat di Surau Darul Ehsan

Seramai 80 orang peserta telah menghadiri kursus ini. Ceramah disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Haji Sulaiman Bin Haji Kasim, Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak. 

Antara rumusan ceramah yang disampaikan adalah oleh Al Fadhil Ustaz Haji Sulaiman Bin Haji Kasim adalah “wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud ” Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya.

Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).

“Wanita merupakan sayap kanan bagi lelaki” dan “di sebalik kejayaan lelaki, adanya seorang wanita”.
Mohd Chee Kadir bersama isteri bergambar bersama tetamu jemputan yang lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here