Apa Itu Jerebu?

0
1063
Keadaan berjerebu di Kota Samarahan hari ini

Kota Samarahan ,07 September 2019 (SNN)- Fenomena jerebu yang melanda negara kita sekarang merupakan satu perkara yang amat serius kerana berisiko dalam memberi kesan kepada tahap kesihatan orang ramai. Jerebu adalah keadaan di mana kualiti udara yang tidak baik dengan kehadiran partikel (opalescent) di atmosfera yang akan mengurangkan jarak penglihatan.

Ia disebabkan oleh pencampuran konsentrasi bahan pencemar udara yang tinggi yang dilepaskan merata-rata dan menyerap sinaran matahari di atmosfera.

Bahan utama pencemar udara semasa jerebu termasuk:

  • Bahan partikel yang berukuran kurang dari 10mm/m3 diameter
  • Ozon
  • Gas karbon monoksida
  • Gas nitrogen dioksida
  • Sulfur dioksida

Apakah Indeks Pencemaran Udara (IPU)?

IPU ialah indeks yang dibentuk berdasarkan kepada lima bahan pencemar udara seperti yang di atas untuk menunjukkan status kualiti udara dan hubungannya kepada kesihatan dalam pemahaman yang mudah untuk mengambil tindakan seterusnya.

Status kualiti udara berdasarkan nilai IPU ( Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

Kesan Jerebu

Kesan jerebu ke atas kesihatan dikaitkan dengan tahap keterukan status kualiti udara. Semakin tinggi tahap IPU, semakin bertambah kesannya kepada kesihatan.

Faktor-faktor lain seperti jangka masa dan intensiti aktiviti luar, tabiat merokok, umur, dan status kesihatan seseorang individu memainkan peranan penting dalam memberi kesan kepada kesihatan.

Kemungkinan kesan kesihatan termasuk;

  • Kesukaran untuk bernafas
  • Serangan jantung
  • Gatal–gatal pada tekak
  • Gatal–gatal pada mata
  • Jangkitan pada bahagian atas saluran pernafasan
  • Gatal–gatal pada kulit

Kebanyakan orang adalah berisiko mendapat kesan kesihatan. Walau bagaimanapun, sesetengah kumpulan adalah lebih tinggi risikonya untuk mendapat kesan kesihatan ini. Kumpulan ini termasuk;

  • Kanak–kanak
  • Warga emas
  • Pesakit yang mempunyai masalah pernafasan seperti asma dan radang pada saluran pernafasan (bronchitis).
  • Pesakit yang menghidapi penyakit jantung dan alahan.
  • Perokok

Kanak-kanak, warga emas serta para penghidap penyakit kronik adalah golongan berisiko untuk mengalami kesan buruk akibat terdedah kepada udara yang berjerebu. Jerebu mengandungi partikel yang sangat kecil yang boleh membawa bahan toksik yang dapat masuk ke dalam peparu dan diserap ke dalam darah.

Penghidap penyakit kronik terutamanya penghidap asma (lelah), penghidap obstruksi persafasan kronik, penghidap penyakit jantung, diabetes (kencing manis) dan darah tinggi perlu mengelakkan diri daripada keluar dari rumah sehinggalah tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kurang daripada 100.

Kajian menunjukkan terdapat peningkatan serangan asma, peningkatan jangkitan pernafasan, pengurangan fungsi peparu, peningkatan kejadian susah nafas, batuk-batuk dan iritasi mata semasa keadaan berjerebu. Ada juga bukti yang mengaitkan peningkatan serangan jantung akibat terdedah dengan udara berjerebu. Oleh itu adalah penting bagi penghidap penyakit-penyakit kronik yang berkenaan untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan jerebu bagi mengelakkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.

Pemasangan penghawa dingin dan alat penapis udara adalah digalakkan. Aktiviti fizikal diluar boleh diteruskan jika IPU kurang daripada 100. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang menghidap asma atau sedang mengalami batuk selsema dan irritasi kulit, mereka disarankan supaya mengelakkan diri dari keluar dari rumah dan bangunan sehingga IPU mencapai kurang dari 50.

Pemakanan yang  sihat  juga adalah penting  semasa musim berjerebu  untuk mempertahankan  sistem imunisasi badan dan menjauhkan diri kita dari mendapat pelbagai  penyakit yang ada kaitan dengan jerebu .

Air adalah satu keperluan bagi setiap individu. Air diperlukan di dalam badan sebagai pelarut makanan, garam mineral dan vitamin. Air juga diperlukan untuk mengawal suhu badan dan melancarkan peredaran darah.Air penting untuk meningkatkan kadar metabolisma tubuh dan kadar pembakaran lemak .Minum air kosong pada masa tertentu akan membantu meningkatkan kadar metabolisma badan . Semasa musim berjerebu, cuaca sekeliling yang kering dan panas  akan meningkatkan keperluan tubuh terhadap cecair. Ini  adalah penting untuk menyeimbangi agar suhu badan tidak terus meningkat. Berikut merupakan langkah-langkah yang boleh diambil semasa jerebu :

  1. Tingkatkan pengambilan cecair kepada 6 hingga  8 gelas air atau lebih mengikut keperluan untuk mengelakkan dehidrasi .
  2. Minum jus serta makan  buah – buahan  dan sayur- sayuran  yang  kaya dengan  antioksida, vitamin, mineral dan serat   bagi membantu melawan penyakit.
  3. Elakkan pengambilan  minuman yang mengandungi banyak kaffein seperti kopi dan minuman beralkohol  yang  boleh menyebabkan pembuangan  air kencing yang  kerap dan boleh menyebabkan  dehidrasi.
  4. Pengambilan air suam adalah digalakkan  berbanding  minuman sejuk /berais  kerana  tubuh badan  akan kehilangan   haba  dengan  cepat yang perlu diganti semula.
  5. Kurangkan pengambilan makanan yang  menyebabkan  kehausan dan  dehidrasi seperti makanan masin  atau bergaram.
  6. Makan pelbagai makanan mengikut keperluan  untuk memastikan tubuh mendapat kesemua zat makanan yang diperlukan.
  7. Pastikan  semua makanan dan minuman disediakan dalam keadaan bersih ,dimasak  dan disimpan dalam keadaan yang sesuai  sebelum digunakan untuk mengelakkan keracunan atau pencemaran makanan.
  8.  Kekal  aktif  di tempat  yang  sesuai ( Dalam bangunan  /rumah)  tetapi  elakkan atau kurangkan  aktiviti di luar  rumah. Elakkan merokok  kerana ianya akan lebih memburukkan keadaan pencemaran udara.
  9. Anda digalakkan makan di rumah dan menyediakan sendiri makanan. Jika makan di luar, pilihlah tempat makan yang bertutup atau berada di dalam bangunan. Lebih baik bungkus makanan dan makan di rumah bersama keluarga. 

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia, Keluarga Sihat, Jabatan Alam Sekitar Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here