KUCHING 2 JULAI 2020 (SNN) : Permohonan baharu untuk Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) dibekukan sementara waktu kerana program ini sedang dikaji semula.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun pembekuan itu tidak kekal kerana program ini merupakan bahagian yang penting di negara ini.
“Kajian semula program tersebut bertujuan memperbaiki serta menambah baik proses yang boleh dilaksanakan di MM2H,” katanya. Nancy yang juga ahli parlimen P.200 Batang Sadong berkata, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya mendapati banyak perkara yang dapat dilakukan untuk memperbaiki program MM2H.
Justeru, beliau berkata bahawa pihaknya mensasarkan untuk menyelesaikan proses ini pada bulan Disember. “Program ini akan disambung pada tahun depan dan kerajaan tidak akan membiarkan program ini beku terlalu lama,”katanya.