47 Pasukan Sertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak Sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019

0
442
Abdul Karim menerima ‘mock cheque’ berjumlah RM500,000 daripada Petronas, RM100,000 daripada Petra Energy Berhad, RM30,000 daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited dan RM30,000 daripada Ta Ann Holdings Berhad sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019

KUCHING, 4 September 2019 (SNN)— Sebanyak 47 pasukan dari 13 negara akan menyertai Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini sempena Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 di Tebingan Kuching, di sini, dari 25 Oktober hingga 3 November 2019 ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata festival selama dua minggu itu akan menampilkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Sarawak pada 26 hingga 27 Oktober 2019, diikuti perlumbaan perahu Sarawak Regatta dari 1 hingga 3 November  2019. Beliau berkata demikian pada sidang media Sarawak Regatta-Kuching Waterfront Festival 2019 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata pihaknya menyasarkan 50,000 orang akan mengunjungi festival itu yang turut diadakan acara sampingan seperti Festival Gendang Melayu Sarawak, jualan makanan dan kraftangan, Sarawak Kitchen, konsert Sound Of Borneo dan Waterfront Idol.

Sebanyak lima kategori akan dipertandingkan dalam perlumbaan perahu naga iaitu terbuka perdana antarabangsa membabitkan 20 kru, terbuka perdana antarabangsa (12 kru), wanita perdana antarabangsa (12 kru) perdana antarabangsa campuran (12 kru) dan master antarabangsa (12 kru). 

Abdul Karim berkata perlumbaan perahu Sarawak Regatta 2019 akan mengadakan 36 acara saringan dan akhir bagi 13 kategori membabitkan perahu balok, perahu bidar dan perahu kenyalang serta bakal disertai pasukan lumba perahu dari seluruh negeri ini bagi merebut Piala Raja Sungai.

“Terdapat 13 negara akan menyertai Perlumbaan Naga Antarabangsa Sarawak tahun ini berbanding hanya lapan negara yang menyertainya tahun lepas iaitu pertambahan sebanyak lima negara,” katanya

Selain Malaysia, negara lain yang terlibat ialah Indonesia, Singapura, China, Brunei, Thailand, Australia, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Taiwan, Myanmar, Filipina dan Hong Kong.

“Amerika Syarikat adalah antara negara kali pertama menyertai perlumbaan perahu naga itu dan akan menghantar seramai 65 pendayung dengan 40 pendayung lelaki dan 25 pendayung wanita,” katanya.

Katanya selain Sarawak yang menghantar sembilan pasukan, tiga negeri lain iaitu Sabah, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur turut menghantar penyertaan pada perlumbaan itu. 

Pada majlis itu, Abdul Karim menerima ‘mock cheque’  berjumlah RM500,000 daripada Petronas, RM100,000 daripada Petra Energy Berhad, RM30,000 daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited dan RM30,000 daripada Ta Ann Holdings Berhad yang menaja festival berkenaan tahun ini.

“Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka melancarkan Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa dan Sarawak Regatta pada 26 Oktober 2019 manakala Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud akan merasmikan majlis penutup pada 3 November 2019,” katanya. Sumber : Bernama, BH, Sarawak Tourism

Abdul Karim menerima ‘mock cheque’  berjumlah RM100,000 daripada Petra Energy Berhad yang disampaikan oleh Tan Sri Sulong Matjeraie

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here