3000 Tetamu Meriahkan Sambutan ‘Jalinan Ukhuwah Eratkan Silaturahim’ di Kabong

0
276
Mohd Chee Kadir, isteri serta tetamu jemputan lain membuka lemang pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Pusat Khidmat ADUN N. 40 Kabong di sini malam tadi

Kabong, 16 Jun 2019 (SNN)- Seramai 3000 tetamu meriahkan sambutan ‘Jalinan Ukhuwah Eratkan Silaturahim’ di Kabong. ADUN N40 Kabong, Yang Berhormat Mohd. Chee Kadir berkata sesuai dengan tema majlis sambutan Ramah Tamah iaitu ‘Jalinan Ukhuwah Eratkan Silaturahim’ beliau menyeru masyarakat Kabong mengambil kesempatan dan peluang sempena Aidilfitri dan Syawal yang mulia untuk bersama-sama memperkukuhkan ukhuwah dan silaturahim bagi mengeratkan ikatan kasih sayang, kekeluargaan dan seterusnya keharmonian hidup bermasyarakat.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Pusat Khidmat ADUN N40 Kabong di sini malam tadi. Majlis berkenaan atas anjuran Parti Pesaka Bumi Putra Bersatu (PBB) bermula jam 8. 30 malam dengan menyediakan 15 buah khemah juadah raya pelbagai menu.  Dianggarkan kira-kira 3000 tetamu hadir memeriahkan majlis. Penduduk disajikan dengan pelbagai juadah raya yang disediakan oleh 15 Ranting PBB di Kawasan DUN N40 Kabong.

Majlis Ramah Tamah tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi PBB N40 Kabong, Haji Alwie Haji Sapali. Dalam ucapan perasmiannya,  Mohd Chee Kadir menegaskan betapa hubungan rakyat berbilang bangsa yang utuh menjadi pemacu kepada keadaan aman dan harmoni yang dinikmati kini.

Mohd Chee Kadir semasa memberikan ucapan perasmian pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri

“Kita amat beruntung apabila dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni serta bersatu hati dalam sebuah negara berbilang bangsa berbanding negara lain yang kini sedang bergolak dan huru-hara kerana tidak ada persefahaman dalam kalangan penduduknya. Malaysia kini amat bertuah kerana aman dan damai.

“Islam amat menggalakkan perpaduan dan melarang permusuhan dan perpecahan. Islam juga memperingatkan agar tidak memutuskan silaturahim antara satu sama lain.

“Elakkanlah perpecahan dan utuhkan kerjasama. Kedatangan Aidilfitri disambut meriah sebagai perayaan utama di negara kita dengan diraikan secara bersama dengan bangsa lain, ” ujarnya.

Dalam ucapannya Mohd Chee Kadir turut menyentuh tentang masalah air yang dialami di Kabong dan pihak JBALB katanya sedang berusaha memulihkan keadaan yang berlaku.

“Mohon ketua kampung dan ketua kaum membuat laporan dan mohon bantuan air kepada pihak berkenaan jika penduduk perlukan bantuan air supaya bantuan dapat disalurkan kepada yang memerlukan. Peruntukan memang ada untuk menghantar bekalan air dengan lori dalam tempoh berlakunya krisis air di beberapa kampung di sini, ” tambahnya.

Salah seorang veteran PBB yang menerima sijil penghargaan daripada Mohd Chee Kadir

Dalam majlis tersebut Mohd Chee Kadir turut menyampaikan sijil penghargaan dan plak kepada 15 orang penerima daripada kalangan veteran PBB yang telah banyak menyumbang bakti kepada PBB selama penglibatan mereka dalam parti di kawasan DUN N40 Kabong.

Majlis turut dihadiri oleh Encik Semawi Bin Mohamad, Setiausaha Dewan Undangan Negeri Sarawak, Encik Rasdi Bin Ahmad, Pegawai Akaun, Dewan Undangan Negeri Sarawak, selain tetamu jemputan yang lain.

Antara sebahagian penduduk yang datang memeriahkan sambutan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bertempat di Pusat Khidmat ADUN N. 40 Kabong di sini malam tadi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here