Pelajar Baharu Asasi Sains UNIMAS Angkat Ikrar

0
84
Para pelajar bergambar kenangan bersama tetamu kehormat selepas Majlis Angkat Ikrar sebagai pelajar Pusat Pengajian Pra Universiti (PPPU) UNIMAS

KOTA SAMARAHAN, 17 Jun 2019  (SNN)– Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini menyaksikan lebih kurang 660 orang pelajar baharu telah mengangkat ikrar sebagai pelajar Pusat Pengajian Pra Universiti (PPPU) UNIMAS sempena Minggu Aluan Pelajar (MAP) bagi Sesi Akademik 2019/2020. Program MAP ini telah berlangsung selama empat hari bermula 14 Jun hingga 17 Jun 2019. Majlis ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi.

Bagi ambilan kohort ke-10 ini, PPPU telah menawarkan Program Asasi Sains Hayat, Asasi Sains Fizikal dan Program International Foundation in Science (IFS). Program Asasi Sains Hayat dan Asasi Sains Fizikal telah dianugerahkan akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menunjukkan bahawa kedua-dua program tersebut menepati piawai MQA. IFS merupakan program baharu yang ditawarkan mulai sesi 2018/2019. Program ini terbuka kepada pemohon warganegara dan antarabangsa untuk mengikuti pengajian asasi sains di UNIMAS. Ini merupakan satu usaha keterbukaan yang ditunjukkan oleh pihak UNIMAS untuk menyebarluaskan ilmu kepada semua lapisan masyarakat.

Para pelajar yang mengikuti ketiga-tiga program ini akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di PPPU selama dua semester. Ini merupakan persediaan para pelajar untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang seterusnya di UNIMAS melalui program-program ijazah sarjana muda yang ditawarkan di fakulti yang berasaskan sains.

PPPU telah berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing yang tinggi di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Franklin Lingga Ak Abun, telah ditawarkan kontrak 10 tahun (dari tahun 2021 ke 2031) oleh Kumpulan BMW sebagai pakar teknologi automotif di Austria. Beliau merupakan pelajar di Fakulti Kejuruteraan UNIMAS setelah menamatkan pengajian asasi di PPPU. Seorang lagi bekas pelajar PPPU, Freddy Luke Anak Kenidy, yang kini merupakan pelajar Program Perubatan UNIMAS telah berjaya memenangi Anugerah Pendebat Terbaik Debat Diraja 2018.

Majlis mengangkat ikrar sebagai pelajar Pusat Pengajian Pra Universiti (PPPU) UNIMAS sempena Minggu Aluan Pelajar (MAP) bagi Sesi Akademik 2019/2020

Pencapaian lepasan pengajian asasi PPPU tidak terhad kepada bidang akademik sahaja. Dua orang bekas pelajar asasi PPPU telah memperoleh kejayaan yang membanggakan dalam bidang sukan. Abner Loo Chun Lik telah meraih Pingat Emas dalam acara Tenpin Boling Berpasukan dan Adam bin Fabian telah beraksi dengan cemerlang sebagai atlet karate dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak. Kejayaan Abner Loo dalam bidang sukan juga seiring dengan kecemerlangan akademik beliau di mana beliau telah dinobatkan sebagai Pelajar Pra-Universiti Terbaik dalam Majlis Apresiasi Gemilang Mahasiswa UNIMAS (MEGAH) 2019.

Pembelajaran di PPPU bukan sekadar berorientasikan peperiksaan semata mata, malah para pelajar akan didedahkan dengan nilai-nilai kepimpinan, keusahawanan dan kemasyarakatan. Salah satunya adalah melalui aktiviti tahunan PPPU iaitu Asasi Back To Community Open Day yang membolehkan para pelajar berinteraksi dengan komuniti luar.

Selain itu juga, PPPU untuk kali keempatnya telah berjaya menganjurkan program UNIMAS Scienceploration Camp yang melibatkan pelajar lepasan SPM dan pelajar menengah atas. Program ini bertujuan untuk memupuk minat di kalangan peserta untuk mempelajari subjek Sains dan Matematik dengan lebih menarik melalui aktiviti dan eksperimen yang dirancang. Objektif program ini adalah selari dengan kehendak dan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang Pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics).

Demi memperkukuhkan lagi imej UNIMAS dalam memberi manfaat kepada komuniti setempat, warga PPPU juga telah turun padang untuk mendekati masyarakat Sarawak, merentasi Kuching hingga ke Lawas bagi tujuan mempromosi sains dan matematik melalui Jerayawara Trans-Borneo Pra-Universiti UNIMAS 2019 dan Jerayawara TEGAS Project Of Dream Realized (PRO-DR) 2019.

Seiring dengan seruan Revolusi Industri 4.0, para pelajar perlu memperkasakan ilmu sains dan teknologi untuk menjadi lebih kompetitif dan bijak mengambil peluang dalam menempuh cabaran era digitalisasi.

Wakil pelajar menerima watikah daripada Naib Canselor UNIMAS, Professor Datuk Dr Mohamad Kadim bin Suaidi sambil disaksikan kenamaan dan jemputan yang lain



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here