150 Layang-Layang Dipertandingkan Dalam Pertandingan Layang-Layang Putus Tali Kaul Mukah 2019

0
179
Abdul Yakub bersama sebahagian peserta pertandingan semasa Majlis Makan Malam dan Perasmian Pertandingan Layang-Layang Putus Tali Kaul Mukah 2019 di Hotel Kingwood Inn, Mukah

MUKAH, 20 April 2019 (SNN)– Sebanyak 150 layang-layang yang melibatkan sebanyak 32 pasukan akan dipertandingkan dalam Pertandingan Layang-Layang Putus Tali Kaul Mukah 2019. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, YB Abdul Yakub Hj Arbi, ini merupakan salah satu acara terbaru dalam kalender aktiviti Kaul Mukah pada tahun ini dan akan menjadi satu daya tarikan baru sempena Kaul Mukah 2019.

“Pertandingan ini adalah julung kalinya diadakan di Mukah bersempena dengan sambutan Kaul Mukah 2019. Sebelum itu, beberapa acara lain turut diadakan antaranya Lumba Salui Lukut, Pertandingan Memanah Tradisional, Pertandingan Futsal dan banyak lagi. Ianya sekaligus akan menarik minat ramai pengunjung dan pelancong dari luar Mukah mahupun Sarawak untuk datang ke Mukah.

“Sebanyak 32 pasukan dari luar dan dalam Bahagian Mukah dengan melibatkan 96 orang peserta secara keseluruhan dan lebih 150 unit layang-layang yang akan bertanding merebut kejuaraan pada kali ini,” katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam dan Perasmian Pertandingan Layang-Layang Putus Tali Kaul Mukah 2019 di Hotel Kingwood Inn, Mukah.

Abdul Yakub menambah, dengan penganjuran ini juga para peserta dapat melihat sendiri keunikan sambutan acara kebudayaan Kaum Melanau terutamanya yang akan ditonjolkan semasa Upacara Kaul Seraheng Kakan pada 27hb April ini nanti. “Kaul Mukah adalah acara sambutan kebudayaan terbesar di Bahagian Mukah yang sudah pun diadakan semenjak ratusan tahun yang lalu. Acara Kaul Mukah juga telah dimasukan dalam Kalender Pelancongan Sarawak dengan pengisian pelbagai aktiviti tradisional mahupun moden dalam skala yang lebih besar,” tambahnya.

Mengambil kesempatan ini, Abdul Yakub mengucapkan tahniah kepada peserta dan penggiat layang-layang di sekitar Mukah kerana berjaya meletakkan permainan ini sebagai salah satu acara tradisional dalam sambutan Kaul Mukah.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pegawai Belia dan Sukan Mukah, Mahadir dan Pengerusi Pengelola Cikgu Pyan bin Borhan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here