Wujud Transaksi Kewangan Bantu Pengganas LTTE- PDRM

0
237
Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (Foto : Astro awani )

KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2019 (SNN) : PDRM hari ini mendedahkan wujudnya transaksi kewangan dalam jumlah yang besar dipercayai untuk menggerakkan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini.

Transaksi itu dikesan susulan penahanan 12 individu yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan terbabit dalam operasi khas Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sejak Khamis lalu.

Semalam, pasukan itu menahan lima lelaki termasuk pegawai eksekutif sebuah perbadanan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan LTTE. Mereka ditahan dalam operasi khas E8 Cawangan Khas Bukit Aman bermula jam 10 pagi sehingga 5 petang semalam di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.

Manakala Khamis lalu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan, antara tujuh individu ditahan dalam operasi khas di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak.

Ketua Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya juga menemui bahan berkaitan LTTE seperti bendera, buku dan poster gambar pemimpin ketika melakukan penggeledahan ke atas individu yang ditahan. Kesemua mereka didakwa mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pemberontak itu.

Seorang suspek ditangkap di Selangor, dua di Melaka, dan dua lagi di Pulau Pinang menjadikan jumlah keseluruhan 12 suspek ditahan setakat ini. Penahanan terbaharu ini adalah operasi susulan daripada tangkapan tujuh suspek pada 7 Otober lalu.

“Suspek pertama ditangkap di Telok Panglima Garang, merupakan lelaki berusia 52 tahun dan bekerja sebagai guru di sekolah menengah sekitar menengah di Banting, Selangor. Suspek terlibat menyokong, mempromosi LTTE melalui sosial media dan memiliki bahan LTTE”.

Suspek kedua ialah seorang lelaki 38 tahun yang bekerja sebagai Pegawai Eksekutif di Perbadanan Teknologi Hijau Melaka. “Suspek pada 28 November tahun lepas merupakan penganjur program sambutan Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah mengedarkan risalah-risalah dan item berkaitan pengganas LTTE.”

Suspek ketiga berumur 43 tahun ditahan di Durian Tunggal, Melaka dan bekerja sebagai Ahli Majlis Perbandaran Melaka.“Suspek juga pada 28 November tahun lepas bertindak sebagai penganjur program sambutan Hari Perwira LTTE di Melaka dan telah mengedarkan risalah-risalah dan item berkaitan pengganas LTTE,” tambahnya.

Suspek keempat ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang merupakan pekerja kilang berusia 26 tahun dan disyaki menyokong serta mempromosi LTTE melalui media sosial. Manakala, suspek kelima berusia 29 tahun yang bekerja sebagai penyelia keselamatan ditangkap di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana disyaki mempromosi LTTE melalui media sosial serta memiliki bahan dan menyimpan bahan kumpulan pengganas.

Kesemua tangkapan dibuat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 6a di bawah kesalahan berkaitan keganasan dan Kanun Keseksaan. Akta disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan. Hasil penggeledahan dilakukan terhadap 12 suspek, pihak polis merampas bendera, buku, poster, gambar pemimpin LTTE serta bahan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Antara suspek yang ditahan termasuk guru (Foto: Astro awani )

Polis juga berjaya mengesan transaksi kewangan dalam jumlah yang besar disyaki digunakan untuk membiayai aktiviti mempromosi, merekrut dan menggerakkan program-program berkaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa. Bagaimanapun jumlah sebenar tidak didedahkan kerana ia adalah siasatan awal.

“Baik RM100 atau RM50 sekali pun, jumlah banyak mana tidak menjadi isu. Namun kesalahan itu yang menjadi isu,” katanya lagi. “Transaksi kewangan ini dipercayai untuk membiayai kegiatan mempromosi, merekrut serta menggerakkan program LTTE di negara ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Bagaimanapun, Ayob Khan tidak mendedahkan nilai transaksi kewangan yang dikesan.“Kita tidak boleh dedahkan berapa nilai transaksi yang ditemui. Bagi kita, nilai tidak menjadi isu, jika beri RM100 pun bantu juga”.

Menjawab kritikan sesetengah pihak menyatakan polis tidak perlu menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menahan individu terbabit, Ayob Khan menjelaskan penahanan mereka berkait isu keselamatan negara.

“Jika polis hanya panggil mereka untuk beri keterangan, kita percaya mereka akan memberi keterangan yang tidak terperinci. Mereka ditahan mengikut SOSMA bagi membolehkan polis untuk menjalankan siasatan dengan teliti dan merampas barangan yang kita anggap penting dalam proses siasatan,” katanya.

Ayob Khan juga berkata pihaknya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan keluarga suspek dimaklumkan mengenai penahanan itu. “Kemudian dalam tempoh 48 jam, akses kepada peguam akan diberikan. Malah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan sebelum ini boleh bertemu keluarga dan peguam mereka, esok,” katanya.

Kumpulan LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014. LTTE yang diketuai V Prabhakaran mencetuskan pemberontakan pemisah untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara negara pulau itu apabila golongan majoriti Sinhala dikatakan menindas masyarakat Tamil, iaitu kumpulan minoriti.

Sumber : Astro Awani, NST, BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here