UNIMAS Anjur Karnival ePembelajaran Terbesar di Malaysia

0
750
Tetamu kenamaan bergambar bersama para pemenang

KOTA SAMARAHAN, 22 Ogos 2019 (SNN)– Pada 21 hingga 22 Ogos 2019, Universiti Malaysia Sarawak telah menganjurkan Karnival e-Pembelajaran Universiti peringkat Antarabangsa (IUCEL) 2019, yang telah menyaksikan penyertaan terbanyak sejak edisi pertama karnival berkenaan pada tahun 2015. Sebanyak 190 inovasi, reka cipta dan produk berkaitan e-Pembelajaran telah dipamerkan semasa karnival dua hari berkenaan. IUCEL disertai oleh pelbagai institusi pengajian tinggi, syarikat, dan sekolah dari Malaysia dan antarabangsa.

Acara tahunan ini dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Ketua-Ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA) dan Pusat e-Pembelajaran Malaysia (MyCEL). Acara ini berfungsi sebagai platform untuk mempromosi dan berkongsi amalan terbaik dan kepakaran global dalam pengaplikasian e-Pembelajaran merentasi semua tahap pendidikan dari seluruh dunia.

Tema IUCEL 2019 ialah “Inspiring Innovations for Sustainable Futures” atau “Menginspirasikan Inovasi untuk Kelestarian Masa Hadapan” memberikan signifikasi yang penting dalam menyeru perubahan amalan yang lebih mapan dan inovasi yang dapat memberikan impak positif kepada komuniti. Selain daripada pertandingan inovasi dan reka cipta yang ditaja oleh OpenLearning Global, IUCEL2019 turut melibatkan aktiviti untuk guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah. Pertandingan E-Teacher dikhaskan kepada inovasi yang dihasilkan oleh guru-guru di Malaysia manakala STEAM@Schools memberikan keutamaan kepada projek-projek pelajar dalam subjek sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik.

Para peserta pertandingan bersedia di booth masing-masing
Kemeriahan di booth Pustaka Negeri Sarawak

YBhg Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Bin Mohd Amin, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Malaysia, dalam ucapan penutupan beliau menyatakan bahawa penganjuran IUCEL menunjukkan komitment berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam menyokong Matlamat Ke-4 dalam Matlamat Pembangunan Lestasi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG) iaitu pendidikan berkualiti. Beliau menekankan bahawa kebangkitan kaedah, paradigma, dan aplikasi baharu dalam pendidikan adalah tidak dapat dielakkan dalam era menuju Revolusi Perindustrian Ke-4. E-Pembelajaran dalam hal ini telah menjadi pemangkin dalam membentuk acuan tenaga kerja negara pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Naib Canselor UNIMAS, YBhg Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, menyatakan bahawa IUCEL2019 dianjurkan pada masa yang tepat kerana pada tahun 2019, UNIMAS telah menjadikan “Memupuk Siswazah Masa Depan: Memperkasakan Kecemerlangan Pengajaran, Meningkatkan Pengalaman Pelajar” sebagai agenda utama. Pada tahun 2019, UNIMAS telah membuat lonjakan yang cemerlang dalam ekosistem e-Pembelajaran universiti agar graduan yang dihasilkan sentiasa peka terhadap perubahan semasa. Hal ini dalam dilihat dari segi pertambahan bilangan kursus teradun dan kursus atas talian secara besar-besaran (MOOCs) yang ditawarkan menerusi rakan strategik OpenLearning Global. Pencapaian ini jelas menunjukkan UNIMAS adalah antara institusi terbaik di rantau ini dalam mengetuai transformasi yang amat diperlukan dari segi kemahiran dan pemikiran tenaga kerja pada abad ke-21.

Semasa upacara penutupan, YBhg Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Bin Mohd Amin, turut menyampaikan pingat kepada pemenang pertandingan inovasi dan angerah e-Pembelajaran untuk sepuluh kategori termasuk anugerah untuk Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Acara sebegini diharap dapat memberikan inspirasi kepada pembangunan lebih banyak inovasi dalam e-Pembelajaran terutamanya dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pengajaran dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Antara pemenang pertandingan dari kiri ialah Dr Dolly Paul Carlo, Dr Haslina Hashim,
Dr Adibah Hj Yusuf, Dr Farah Zaini dan Pn. Nurul Huda Marwan.
Semasa sesi penghakiman dijalankan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here