More
    Home Sidang Kemuncak Halal Global 2019 Berlangsung 1-6 April 2019

    Sidang Kemuncak Halal Global 2019 Berlangsung 1-6 April 2019

    Kuala Lumpur, 30 Mac 2019 (SNN)– Sidang Kemuncak Halal Global 2019 akan berlangsung bermula pada 1-6 April 2019. Kerajaan Malaysia melalui Sekretariat Majlis Halal Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Sidang Kemuncak Halal Global 2019 (GHaS 2019) yang bakal berlangsung di Hotel Grand Hyatt dan Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur mulai 01 hingga 06 April 2019.

    Penganjuran Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS 2019)  tahun ini melibatkan usahasama dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sidang ini merupakan platform terbesar yang disediakan kepada semua pemain industri halal dunia dan ditampilkan menerusi sesi perbincangan, perkongsian pengetahuan, aktiviti rangkaian dan peluang untuk meningkatkan lagi komuniti halal demi faedah ummah secara global.

    Sidang Kemuncak Halal Global 2019 ini juga merupakan peluang dan ruang yang terbaik dalam menghimpun dan menghubungkan pakar-pakar serta pemain-pemain industri halal global, pihak berkuasa halal serta profesional halal dari seluruh dunia untuk berkongsi pandangan dan kepakaran berkaitan inisiatif halal. Dengan tema “Halal Connecting The World” iaitu “Halal Menghubungkan Dunia”, ia bakal menyatukan dan membawa rahmat kepada semua pihak sejajar dengan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin.

    Tujuh (7) program strategik bakal disajikan oleh GHaS 2019 iaitu 10th Halal Certification Bodies Convention (HCBC), 3rd International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP), 2nd International Halal Authority Board (IHAB) General Assembly, Global Halal Industry Congress (GHIC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), World Halal Conference (WHC) dan 1st Halal Innovation & Technology Exhibition (HITEx)

    Perincian Tujuh program yang akan berlangsung sepanjang Sidang Kemuncak Halal Global 2019 (GHaS 2019) bermula 01 – 06 April 2019 ini adalah seperti berikut:

    1. 10th Halal Certification Bodies Convention (HCBC)

    HCBC merupakan acara tetap tahunan yang menghimpunkan badan-badan pensijilan dan juga pihak berkuasa pensijilan halal dari seluruh dunia. Konvensyen ini antara salah satu platform untuk mengukuhkan kapasiti dan keupayaan badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM selain dilihat sebagai satu medium perkongsian kepakaran dan isu-isu semasa berkaitan halal. Penganjurannya juga antara lain memperlihatkan pengukuhan dan pengiktirafan buat Malaysia sebagai peneraju halal global. Mulai tahun 2017, program ini telah diubah suai kepada pendekatan yang lebih harmoni dengan tidak menghadkan penyertaannya kepada badan-badan pensijilan halal yang diiktiraf sahaja. Sehingga Februari 2019, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengiktiraf 78 buah Badan Pensijilan Halal Luar Negara merangkumi 45 buah negara seluruh dunia.

    Pengiktirafan ini diberikan kepada badan-badan pensijilan yang menepati standard Pensijilan Halal yang ditetapkan. Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali ke 10 ini akan berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada 01 April 2019.

    2. 3rd International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP)

    IHTCDP diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 2017. Tahun ini adalah tahun ketiga penganjurannya dan akan menjanjikan kelainan yang memberi lebih banyak manfaat kepada peserta baik dalam dan luar negara. Program yang akan dianjurkan selama dua hari ini akan memfokuskan pembangunan kapasiti peserta berkaitan aspek parameter dan teknikal dalam konteks industri halal, tahap kritikal bahan ramuan dan kaedah penilaian kedua-keduanya dalam sudut pandang pensijilan halal Malaysia. Untuk makluman, pelaksanaan program ini dibahagikan kepada sektor Emerald dan Diamond; merujuk kepada skim produk makanan / premis makanan dan kosmetik / farmaseutikal / perkhidmatan logistik.

    Turut ditampilkan melalui program ini ialah forum interaktif dikalangan pemain industri halal dan pihak berkuasa / pakar yang berkaitan, ceramah ringkas (pocket talk) serta sesi perkongsian pencapaian dan inspirasi setiap pemain industri dalam industri halal. Untuk edisi ketiga tahun ini, IHTCDP 2019 dijangka akan menerima lebih banyak penyertaan bagi memperoleh pelbagai maklumat teknikal dan syariah secara langsung berkaitan pensijilan halal dari pihak-pihak yang berkepakaran baik industri mahu pun pihak berautoriti. Program ini akan berlangsung pada 01 dan 02 April 2019 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

    3. 2nd International Halal Authority Board General Assembly (IHAB-GA)

    IHAB-GA akan berlangsung pada 1 April 2019 bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur dan merupakan persidangan serta perbincangan tertutup yang melibatkan pihak berkuasa halal dari seluruh dunia. Antara tujuan utama penganjuran IHAB-GA ialah ke arah mengharmonikan sistem dan piawai halal global dalam kalangan negara-negara anggota dan bakal dihadiri oleh Badan-badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

    Untuk rekod, IHAB merupakan sebahagian daripada ekosistem Halal yang diusahakan secara bersungguh-sungguh oleh Malaysia dengan matlamat untuk menyelaras amalan Pensijilan Halal pada skala global. Antara fungsi penganjuran IHAB adalah mengimplementasi pelaksanaan pensijilan Halal kepada kesemua yang terlibat serta satu medium bagi mencapai persetujuan bersama menerusi Susunan Pengiktirafan bersama Mutual Recognition (MRA) antara pihak berkuasa berkaitan halal.

    IHAB juga merupakan platform yang berfungsi untuk mengharmonikan operasi dan piawaian halal global serta penyediaan garis panduan pensijilan dan kerjasama halal global dalam industri.

    4. Global Halal Industry Congress (GHIC)

    GHIC merupakan satu lagi inisiatif baharu yang diperkenalkan tahun ini untuk meningkatkan lagi tahap pematuhan halal di kalangan pemegang Sijil Halal. Dengan menyasarkan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia baik dari industri tempatan dan antarabangsa, Kongres ini akan memberi tumpuan terhadap pelaksanaan dialog antara pihak berkuasa yang berkaitan dan pemain industri dalam mencari penyelesaian serta meningkatkan pengurusan rantaian bekalan halal, akses pasaran serta kemudahan perdagangan. Memandangkan industri tempatan dan global kini bergerak ke arah “industri mesra Halal”, maka pendekatan GHIC juga bertujuan untuk mewujudkan peralihan paradigma baru di kalangan pemain industri halal agar dapat memahami nilai dan prinsip teras Halal Model Malaysia.

    GHIC kali pertama ini akan berlangsung pada 03 April di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Program secara terbuka ini bakal melibatkan pihak berkuasa dan pemegang Sijil Halal dari Malaysia dan seluruh dunia dengan sasaran 1000 orang peserta yang bakal hadir. Selain memberikan pemahaman yang jelas dan terperinci mengenai halal di kalangan industri, kongres ini juga sangat sesuai untuk memperkukuhkan lagi pematuhan halal bagi keseluruhan rantaian bekalan dikalangan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

    5. Malaysia International Halal Showcase (MIHAS)

    MIHAS ialah pameran perdagangan halal terbesar dunia yang bakal berlangsung selama empat hari di Malaysia International Trade & Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, Malaysia. MIHAS yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia dan dianjurkan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) bakal membuka tirainya bermula dari 03 April hingga 06 April 2019.

    Dihormati sebagai sebuah negara Islam yang moden, damai dan sederhana terutamanya di kalangan negara-negara anggota Kesatuan Islam OIC, Malaysia mempunyai kelebihan dalam meningkatkan dan memperjuangkan industri halal. Dengan lebih daripada 21,000 pengunjung yang telah menghadiri dan mengunjungi MIHAS 2018, ia telah menghasilkan nilai perdagangan serta pulangan yang amat memberangsangkan dengan nilaian lebih daripada RM1.52 bilion.

    Selain itu, MIHAS yang merupakan acara tahunan dan utama dalam GHaS 2019 tidak terhad penyertaannya kepada peserta dari rantau ASEAN sahaja malahan turut menerima penglibatan dan sokongan di peringkat antarabangsa.

    Program MIHAS menawarkan pelbagai penyertaan, persidangan eksklusif, perkongsian pengetahuan, rangkaian dan peluang perniagaan yang disediakan untuk semua pengunjung. MIHAS akan mula dibuka untuk kunjungan orang awam pada 06 April 2019.

    6. World Halal Conference (WHC)

    WHC adalah persidangan tokoh pemimpin dan pemikir halal antarabangsa yang diadakan setiap tahun untuk menghimpunkan wakil-wakil kerajaan, pemimpin perniagaan, pemain industri halal, usahawan, para cendekiawan Islam termasuk ulama dan pihak berkepentingan dari seluruh dunia ke Kuala Lumpur dengan aspirasi bersama untuk melonjakkan lagi pertumbuhan industri halal global. Sejak awal lagi persidangan ini telah menyediakan platform yang ideal dalam wacana intelektual mengenai isu-isu yang penting dalam pembangunan industri halal dan turut mengilhamkan nilai tambah yang tinggi hasil dari kejayaan teknologi dan inovasi halal.

    World Halal Conference juga merupakan salah satu strategi Kerajaan dalam mengekalkan Malaysia sebagai hab halal dunia dengan menghimpunkan ketua-ketua kerajaan, ahli akademik dan wakil-wakil industri untuk meneroka dan membincangkan cabaran yang berkaitan dengan pembangunan Ekonomi Halal Dunia.

    WHC 2019 bakal dianjurkan oleh Halal Industry Development Corporation (HDC) yang dihoskan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Malaysia. Persidangan tersebut akan diadakan selama 2 hari bermula 3 & 4 April 2019 di Aras 1, Malaysia External Trade Development Corporation (MITEC), Kuala Lumpur, Malaysia

    7. 1st Halal Innovation & Technology Exhibition (HITEx)

    HITEx merupakan pentas global kepada para pemain industri dalam memperkenal dan mempromosikan Inovasi dan Teknologi Halal di samping bertujuan untuk mendapatkan pandangan-pandangan yang praktikal dalam mengatasi cabaran produk dan perkhidmatan halal dengan integrasi IT dan teknologi yang semakin maju.

    Ia berperanan untuk memperkenalkan ekosistem Halal yang menyeluruh dan holistik serta didorong oleh inovasi utama dan pemain dalam industri yang berkaitan. Selain itu, HITeX berfungsi sebagai medium untuk berkongsi idea dan pengalaman dalam kalangan peserta dari pelbagai agensi dan negara. HITEx bakal dianjur dan dihoskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Program ini akan diadakan selama 4 hari dari 03 hingga 06 April 2019 di Aras 2, Dewan 8, Malaysia External Trade Development Corporation (MITEC), Kuala Lumpur.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang siap Julai ini-Julaihi

    0
    KUCHING, 28 MAC 2024 (SNN): Kerja-kerja fizikal menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang bermula sejak 1 Mac 2021 lalu dijangka siap sepenuhnya...