Kualiti Udara Selamat dan Stabil, Sekolah Dibenarkan Dibuka Esok

0
379
Hampir 300 anggota termasuk dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan ( FRU), polis, guru dan ibu bapa berganding bahu membersihkan SMK Pasir Putih seawal 8 pagi

PASIR GUDANG, 30 Mac 2019 (SNN) – Kualiti udara selamat dan bersih, justeru 2 buah sekolah di sini iaitu  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dibenarkan dibuka esok. Kedua-dua buah sekolah ini yang merupakan dua buah sekolah yang paling terjejas berikutan terletak di zon merah bencana pencemaran Sungai Kim Kim kerana  jarak sekolah mereka dengan Sungai Kim Kim hanya kira-kira 200 meter sahaja.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlarutan sejak 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebagai persediaan untuk sekolah dibuka keesokan hari, hampir 300 anggota termasuk dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan ( FRU), polis, guru dan ibu bapa berganding bahu membersihkan dua sekolah tersebut yang terjejas dengan sisa kimia berbahaya, selepas lebih tiga minggu ia ditutup.

Pengetua SMK Pasir Putih, Wardah Ismail berkata, proses pembersihan dijalankan seawal jam 8 pagi tadi bagi memastikan kawasan sekolah, terutama bilik darjah berada dalam keadaan bebas daripada sisa toksik berbahaya.

“Seramai 65 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, termasuk 60 guru dan 20 ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama-sama membersihkan sekolah bagi persediaan sekolah dibuka esok. Antara kerja pembersihan dijalankan termasuk menggelap tingkap, kipas dan peralatan sekolah selain membasuh fabrik terutama langsir,” katanya ketika dihubungi.

Sementara guru Besar SK Taman Pasir Putih, Abdul Rashid Ahmad, pula berkata seramai 145 orang termasuk FRU, guru,badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan guru hadir membersihkan sekolah berkenaan hari ini.

“Alhamdullilah,kerja pembersihan sudah selesai dengan kerjasama semua pihak yang membantu. Esok sekolah akan dibuka seperti biasa namun diarahkan tiada aktiviti luar diadakan selama seminggu sebagai langkah berjaga-jaga, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata kualiti udara di 30 sekolah di dalam radius 10 kilometer di sekitar Pasir Gudang menunjukkan kualiti udara di dalam paras yang dibenarkan dan stabil.

“JAS juga menjalankan pemantauan di lokasi tertentu di dalam lingkungan 15 kilometer radius dari punca kejadian dan secara keseluruhannya keputusan bagi data pemantauan kualiti udara di lokasi berkenaan adalah di dalam paras yang dibenarkan dan di dalam keadaan yang stabil”.

“JAS akan terus melaksanakan pemantauan kualiti udara secara berterusan di kawasan yang terjejas bagi memastikan kualiti udara adalah di dalam paras yang dibenarkan bagi penduduk tempatan serta murid-murid di sekolah terbabit”.

“Pemantauan kualiti udara ini juga adalah bagi memastikan kejadian pelepasan bahan toksik ke udara tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Sebelum ini Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin telah mengesahkan yang kawasan Sungai Kim Kim sejauh 1.5 kilometer (km) kini telah disahkan selamat. Pengesahan itu diberikan berikutan tiada gas berbahaya dikesan di sungai berkenaan selepas kerja pembersihan yang dimulakan selesai.

“Sejumlah 1,500 tan air sungai dan 900 tan enap cemar dengan sisa kimia berbahaya sudah dibersih dan akan dilupuskan dari Sungai Kim Kim. Hanya 490 lagi beg jumbo sisa kimia tercemar yang masih ada di lokasi dan akan dilupuskan di kilang dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan sisa akan diserahkan kepada JAS bagi pelupusan akhir,” katanya.

Sebahagian anggota dari Unit Pasukan Simpanan Persekutuan ( FRU)membantu kerja-kerja pembersihan di SMK Pasir Putih

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here