More
    Home Sarawak Kuching Sebuah entiti agensi air perlu ditubuhkan selaras dengan permintaan bekalan air semakin...

    Sebuah entiti agensi air perlu ditubuhkan selaras dengan permintaan bekalan air semakin tinggi-Julaihi

    KUCHING, 02 FEBRUARI 2023 (SNN): Sebuah entiti bekalan air di Sarawak perlu ditubuhkan bagi menyelaraskan bekalan air di seluruh negeri ini.

    Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, untuk menyelaraskan bekalan air di seluruh Sarawak perlu ada gabungan daripada semua agensi di bawah Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management menjadi satu entiti.

    Ini kerana menurutnya, kerajaan Sarawak sentiasa melihat untuk masa hadapan bahawa bekalan air itu sangat penting dan akan memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

    “Perlunya satu entiti ini supaya usaha dan tujuan kita dapat diselaraskan dari segi membekalkan air bersih dan mengusahakan fungsi kawal selia dengan berkesan dan cekap untuk masa jangka panjang.

    “Saya ingin meyakinkan kepada semua warga agensi yang terlibat dalam bekalan air di Sarawak, kebajikan semua lapisan jurutera, pegawai dan semua kakitangan akan dijaga apabila kita dapat mewujudkan satu entiti ini dalam masa yang terdekat,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Apresiasi KWB Tahun 2021 dan Penghargaan Pesara-Pesara Tahun 2022 hingga 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

    Datuk Julaihi merakam gambar kenangan bersama warga KWB-Foto galeri Datuk Julaihi Narawi.

    Jelasnya lagi, bagi membolehkan satu entiti ini benar-benar dapat dijadikan realiti dalam masa dua tahun ini, maka Jawatankuasa pemandu telah ditubuhkan di bawah MUT.

    “Memang sebelum ini ada Jawatankuasa Pemandu yang melihat untuk penububan satu entiti ini, tetapi saya ubahsuai dan tambah baik supaya ianya lebih inklusif dan lebih menepati penanda aras yang kita jangka boleh menjadi panduan untuk menubuhkan satu entiti ini,” ujarnya.

    Tambahnya, Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan untuk mengkaji satu entiti ini di pengerusikan oleh beliau sendiri serta kedua-dua Timbalan Menteri MUT.

    Dalam majlis tersebut, turut menyaksikan seramai 47 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KWB yang terdiri daripada pelbagai seksyen dan skel jawatan serta 21 pesara tahun 2022 manakala 11 orang pesara tahun 2023 dari Januari hingga Jun.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Lembaga Pengarah KWB Any Jana, Pengurus Besar KWB Rodziah Mohamad, Timbalan Pengurus Besar KWB Lau Pon Yin dan Ketua Pegawai Eksekutif LAKU Management Sdn Bhd Ts. Daniel Punang.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read