More
    Home Sarawak Kapit RM400 juta dana diperuntukan untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kapit bagi...

    RM400 juta dana diperuntukan untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kapit bagi tempoh tiga tahun

    KAPIT, 02 FEBRUARI 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memperuntukkan dana sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Kapit dalam tempoh tiga tahun ini.

    Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, projek-projek ini merangkumi projek yang dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), projek rakyat dan projek-projek kecil.

    “Pada umumnya memang Bahagian Kapit sedang pesat membangun dan juga termasuk kawasan-kawasan luar daripada Kapit.

    “Setakat ini projek pembangunan berjalan dengan lancar namun ada projek tersebut mengalami kelewatan yang disebabkan masalah logistik tetapi kita akan mencari alternatif lain bagi menyelesaikan isu ini dan berkehendakan masa.

    “Saya rasa dalam RMK-12 kita juga akan membuat kajian bagi projek-projek tersebut, ” ujarnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pembangunan Negeri di Kompleks Kerajaan Negeri di sini, pada Rabu.

    Menjelaskan isu logistik Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, terdapat kontraktor pelaksana berdepan dengan masalah membawa masuk bahan pembinaan ke tapak projek.

    “Sebagai alternatif kepada masalah ini kita boleh membawa masuk bahan binaan melalui sungai.

    “Malah ini dapat mengurangkan lagi kos logistik selain daripada hanya menggunakan darat untuk penghantaran bahan binaan,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, bandar Kapit akan mengalami perubahan landskap pembangunan dengan pelaksanaan projek pembesaran bandar Kapit.

    “Sebenarnya kita sudah ada pelan induk untuk pembesaran bandar Kapit.

    “Projek ini akan merangkumi pembangunan termasuk pusat komersial, perumahan dan jalan-jalan asas yang akan menghubungkan bandar lama terus ke jalan utama ke Sibu,” katanya lagi.

    Premier Sarawak terkebih dahulu menyampaikan cek bantuan dana sekolah mubaligh daripada UNIFOR sebanyak RM944,800 untuk Bahagian Kapit sebelum bergerak ke URDA.

    Hadir sama Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk John Sikie Tayai, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumbong, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bagik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee dan Residen Bahagian Kapit Galong Luang serta ketua- ketua jabatan kerajaan.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak sedia guna dana sendiri bina sekolah baharu di Sebuyau

    0
    SEBUYAU, 27 APRIL 2024 (SNN): Kerajaan Negeri Sarawak dengan persetujuan Kerajaan Persekutuan akan membina sebuah sekolah baharu di Sebuyau menggunakan dana kerajaan negeri. Premier Sarawak...