Ramah Tamah Aidilfitri Erat Hubungan Pemimpin Kawasan Dengan Masyarakat Setempat

0
211
Dr Hazland bergambar bersama penduduk Kampung Tabuan Tengah di DUN Demak Laut dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sini

Kuching, 16 Jun 2019 (SNN)- Ramah Tamah Aidilfitri dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin kawasan dengan masyarakat setempat. Kemeriahan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah ceria penduduk Kampung Tabuan Tengah di DUN Demak Laut dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di sini, malam tadi apabila dapat beramah mesra dengan pemimpin kawasan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni yang hadir berkata beliau berasa gembira di atas kehadiran penduduk di majlis ini dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang berjaya menganjurkan majlis ini dengan jayanya.

“Inilah cara saya untuk hadir menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat di kawasan DUN Demak Laut terutama di Kampung Tabuan Tengah, malam ini.

“Sukar untuk saya datang menziarah dari rumah ke rumah kerana jumlahnya yang sangat banyak. Menerusi cara ini (Ramah Tamah Aidilfitri) saya dapat bersama penduduk meraikan Aidilfitri secara bersama. Tahun ini adalah tahun yang ke sembilan saya meraikan Aidilfitri bersama penduduk di kawasan DUN Demak Laut semenjak menjadi wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri bersama penduduk di Kampung Tabuan Tengah, malam tadi. Majlis telah dimeriahkan dengan persembahan koir lagu Hari Raya Aidilfitri yang dipersembahkan wanita-wanita Kampung Tabuan Tengah dan cabutan bertuah.

Dr Hazland menyampaikan sumbangan bantuan kepada salah seorang pelajar daripada Kampung Tabuan Tengah yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi

Pada majlis itu, Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan insentif kepada 5 orang pelajar daripada Kampung Tabuan Tengah yang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Turut disampaikan bantuan kepada golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim. Mulai tahun ini, mereka yang tersenarai dalam e-kasih juga menerima sumbangan bantuan daripada ADUN Demak Laut.

Selepas Kampung Tabuan Tengah, Siri Jelajah Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut diteruskan di Kampung Semilang. Setibanya di Dewan Kampung Semilang, Dr Hazland disambut dengan senyuman gembira dan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada penduduk kampung.

“Bulan Syawal atau Aidilfitri adalah bulan untuk kita saling bermaaf-maafan sesama kita selain meraikan kemenangan selepas sebulan kita berpuasa di bulan Ramadan. Menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri ini, dapatlah saya bersalaman dan bermaaf-maafan sesama kita dan sekaligus merayakan Hari Raya Aidilfitri,” katanya semasa berucap di Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut.

Hadir sama Penghulu Bolhassan Ibrahim, Ketua Kaum Pauzi Ameng dan Ketua PBB Ranting Semilang Panyi Han.

Dr Hazland bersama penduduk Kampung Semilang
Antara sebahagian penduduk Kampung Semilang yang hadir pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri DUN Demak Laut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here