Rakyat Malaysia Bersatu Sertai Perhimpunan Kedamaian

0
557
Peserta perhimpunan bergerak ke Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 23 Mac 2019 (SNN)-   Seawal jam 6.30 pagi, peserta mula bergerak dan berkumpul bagi menghadiri Perhimpunan Solidariti Kedamaian yang berlangsung di Dataran Merdeka, pagi ini.  Para peserta yang berpakaian putih mula berkumpul di pekarangan kompleks beli-belah Sogo sebelum memulakan perarakan menuju ke Dataran Merdeka.

Perhimpunan ini adalah susulan serangan pengganas ke atas dua masjid di Christchurch, New Zealand pada 15 Mac lalu yang mengorbankan 50 nyawa termasuk seorang rakyat Malaysia, Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi, dan beberapa yang lain cedera dalam kejadian tersebut.

Perarakan yang bermula jam 7.45 turut disertai beberapa pemimpin negara, antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad,Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moort serta Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Antara pengisian perhimpunan itu ialah ucapan wakil-wakil agama, pelancaran Simbolik Solidariti Kedamaian dan Deklarasi Kedamaian KL 2019. Antara yang memberikan ucapan adalah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, wakil agama Kristian, Julian Leow, wakil agama Hindu, Datuk RS Mohan Shan, dan wakil agama Buddha, Sing Kan.

Turut hadir dalam perhimpunan pagi tadi adalah aris keluarga Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang terkorban dalam tragedi tembakan di Christchurch, New Zealand. Antara yang hadir adalah Zarina Shuib ibu saudara Allahyarham Muhammad Haziq, memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana berkesempatan menyertai rakyat Malaysia dalam perhimpunan itu di sini hari ini. Beliau turut melahirkan rasa terharu terhadap sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia ketika perhimpunan Solidariti Kedamaian, hari ini. Beliau bagi pihak keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang sudi menziarahi keluarga mereka di Christchurch.  Dalam ucapannya beliau turut menambah sebagai ahli keluarga mereka redha dengan pemergian Muhammad Haziq dan wajib menerima ketentuan-Nya walaupun ujian tersebut amat berat untuk diterima.

Zarina, yang merupakan kakak Mohd Tarmizi Shuib, berkata sesungguhnya sebagai rakyat Malaysia, beliau amat mencintai kedamaian dan keamanan sejagat. Justeru beliau akan menyokong usaha bagi menyatakan kebersamaan masyarakat dan rakyat Malaysia bagi menjamin keamanan dan kedamaian tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.

Perhimpunan ini disertai oleh orang awam, lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Islam, Sikh, Tao, Buddha, Kristian dan Hindu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berucap pada Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Kuala Lumpur, hari ini. – Foto Azhar Ramli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here