Awas, Wabak Rabies di Kampung Tambirat, Asajaya

0
622
Kampung Tambirat, Asajaya diisytihar sebagai kawasan terbaharu wabak anjing gila atau rabies

KUCHING, 23 Mac 2019 (SNN) – Wabak terkini rabies kini disahkan di Kampung Tambirat, Asajaya. Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak hari ini mengisytiharkan kawasan Kampung Tambirat, Asajaya sebagai kawasan terbaharu wabak anjing gila atau rabies.

Jurucakap Sekretariat JBPN Sarawak berkata keputusan itu dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JBPN Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

“Kawasan ini terletak di luar 10 kilometer radius kawasan yang telah diisytiharkan wabak rabies, sekali gus menjadikan kawasan berkenaan kawasan ke-62 wabak,” demikian menurut jurucakap itu dalam kenyataan, di sini semalam.

Susulan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membiarkan anjing lepas bebas atau membawa keluar anjing dari kawasan wabak tanpa kebenaran bertulis Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri.

Wabak rabies atau anjing gila kini diisytiharkan sebagai Bencana Tahap II setelah wabak itu berlaku melebihi dari satu daerah di Sarawak pada Januari lalu. Pengurusan Bencana Tahap II  ialah pengurusan dan pengendalian kejadian bencana yang berlaku melebihi satu daerah negeri yang memerlukan penyelarasan dan pengemblengan sumber di peringkat negeri dengan bantuan daripada peringkat pusat.

Mengulas lanjut, Uggah berkata, JPBN bertanggungjawab untuk menggerakkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara teratur, cekap dan terselaras.

“Ketua Polis Negeri dan Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri adalah bertanggungjawab sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana apabila pengendalian bencana diambil alih secara keseluruhannya oleh peringkat negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Uggah turut mencadangkan beberapa penambahbaikan dalam operasi membanteras Wabak Rabies dengan berkesan dan menyeluruh menerusi arahan MKN 20.

“Antaranya adalah Pengurusan kes rabies yang lebih berkesan bagi manusia, kesedaran dan komunikasi risiko penyakit rabies, pengawalan penyakit rabies yang bersepadu termasuk mengambil tindakan ke atas anjing yang terbiar, menambah baik fasiliti diagnostic dan meningkatkan aktiviti survelan, menguatkuasakan pelesenan dan vaksinasi anjing dan menambah bilangan sumber manusia dan logistik yang diperlukan,” katanya.

Pemilik anjing juga dinasihatkan agar tidak membiarkan anjing mereka bebas berkeliaran dan membawa anjing keluar dari kawasan wabak Rabies tanpa kebenaran bertulis dari “State Veterinary Authority”.

Jika didapati melakukan kesalahan tersebut, pemilik anjing boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 37 (2) (amp) (3) Ordinan Kesihatan Awam Veteriner 1999.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here