More
    Home Rakyat Dibantu Sewajarnya Menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan...

    Rakyat Dibantu Sewajarnya Menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak

    KUCHING, 07 Mei 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak sentiasa meningkatkan usaha untuk memastikan masyarakat berkeperluan diberi bantuan sewajarnya berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan. 

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM209.6 juta untuk membantu seramai 58,038 orang golongan sasaran sepanjang 2018.

    Jelas beliau, antara penerima berkenaan adalah dalam kategori Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 11,560 orang, Bantuan Orang Tua (BOT) 22,440 orang dan Elaun Pekerja Cacat (EPC) 3,433 orang.

    “Seterusnya, Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) 2,001 orang; Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) 6,937 orang; Bantuan Am (BA) 11,603 orang; Bantuan Anak Pelihara (BAP) 18 orang dan Bantuan Belia-Beliawanis (BBB) 46 orang,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Ucapan Penggulungan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Fatimah memberitahu, kementeriannya juga memberi bantuan segera bagi pemulihan dan perlindungan sementara kepada mangsa bencana. Sehingga 25 April 2019 ujar Fatimah, sebanyak RM2.7 juta telah dibelanjakan untuk membekalkan air minuman kepada 18,978 keluarga yang melibatkan seramai 100,933 orang di kawasan yang dilanda kemarau.

    “Kita juga menyediakan sebanyak RM1.05 juta untuk 135 keluarga dan 593 orang mangsa kebakaran, sebanyak RM18,014 untuk 66 keluarga dan 689 orang mangsa banjir, dan RM16,015 untuk 7 keluarga dan 35 orang mangsa tanah runtuh dan ribut,” jelasnya.

    Bercakap berkenaan usaha untuk menyelaraskan pelaksanaan program pembangunan awal kanak-kanak supaya sesuai dengan aspirasi dan keperluan semasa, Hajah Fatimah berkata, untuk itu, kementeriannya akan mengambil alih 18 buah TASKA dan 73 buah TADIKA SeDidik sebagai langkah pertama menyelaraskan pelaksanaan program yang merangkumi akses, kualiti, dan ekuiti, merangkumi aspek kemudahan, kurikulum dan personel.

    Menurut beliau, TADIKA dan TASKA SeDidik akan dibangunkan sebagai model yang boleh dicontohi bukan sahaja di Sarawak, tetapi juga di peringkat nasional, bahkan juga di peringkat antarabangsa.

    “Manakala, dalam usaha memperluaskan akses ke kawasan-kawasan yang sukar dicapai seperti di Kawasan Apoh-Tutoh untuk masyarakat Penan di Baram, kementerian kami akan mengambil alih pengurusan lima buah TADIKA Komuniti Penan yang telah ditubuhkan di bawah projek CSR Petronas.

    “Antaranya di Long Kawa, Long Kerangan, Long Jenalong, Long Leng dan Ba’ Selulong. Namun, setakat ini, empat daripada TADIKA ini telah siap kecuali di Ba’ Selulong,” tambahnya lagi dalam Ucapan Penggulungan Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Fatimah memberitahu, kementeriannya juga prihatin ke atas usaha mewujudkan TASKA di tempat kerja bagi memudahkan para pekerja menghantar anak ke TASKA di dalam kawasan tempat kerja.

    Sehingga kini ujar beliau, terdapat 18 buah TASKA di tempat kerja telah diwujudkan oleh agensi-agensi dan jabatan-jabatan di Sarawak, menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak dan agensi masing-masing.

    “Malah, pada tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menerima peruntukan geran Kerajaan Persekutuan sebanyak RM515,00 bagi TASKA tempat kerja sektor awam di JKMS, UiTM Cawangan Samarahan, Hospital Sibu dan Penjara Pusat Limbang,” katanya.

    Hajah Fatimah Abdullah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang siap Julai ini-Julaihi

    0
    KUCHING, 28 MAC 2024 (SNN): Kerja-kerja fizikal menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang bermula sejak 1 Mac 2021 lalu dijangka siap sepenuhnya...