Sarawak Sasar 5 Juta Pelawat Tahun 2019

0
833
Kompleks Muzium Sarawak (SMC) dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2020

KUCHING, 07 Mei 2019 (SNN)- Kerajaan Sarawak menyasarkan kemasukan 5 juta pelawat ke Sarawak dan ianya dijangka memberi pulangan RM8.18 bilion resit perbelanjaan pada tahun ini. Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dalam tempoh Januari dan Mac tahun ini, Sarawak telah menerima kehadiran 1,117,843 pelawat.

“Jumlah ini merupakan peningkatan 3.93 peratus berbanding 1,075,560 bagi tempoh yang sama pada 2018.Daripada jumlah itu, majoriti pelawat datang dari China (9,983), Singapura (9,024), Indonesia (94,303), Brunei (304,823) dan Filipina (14,419).

“Menerusi Kempen Melawat Sarawak yang dirasmikan pada 31 Disember 2018, kementerian saya menjangkakan peningkatan berterusan dari aspek ketibaan pelawat terutama pada pertengahan tahun ini. Kementerian saya bersama Lembaga Pelancongan Sarawak dan agensi-agensi lain akan menggandakan usaha dalam meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, hari ini.

Abdul Karim menambah, pada 2018, Sarawak telah menerima 4.43 juta pelawat dengan resit perbelanjaan sebanyak RM7.95 bilion dan bilangan ini mencatat penurunan sebanyak 8.77 peratus berbanding 2017.

Menyentuh perkembangan yang sama, Kompleks Muzium Sarawak (SMC) bakal menjadi mercu tanda baharu pelancongan di Sarawak sekaligus menarik kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini. Abdul Karim berkata, apabila projek pembinaan Kompleks Muzium Sarawak baharu itu siap kelak, ia bakal menjadi bangunan muzium kedua terbesar di Asia Tenggara.

Menurut beliau, Kompleks Muzium Sarawak juga memainkan peranan penting dalam bidang permuziuman, sejarah, budaya dan warisan Sarawak apabila ia dibuka kepada orang awam pada penghujung 2020.

“Di samping mempamerkan koleksi-koleksi yang unik berkaitan Sarawak, muzium ini nanti diharap akan menjadi pusat koleksi, rujukan dan pusat pembelajaran pada masa akan datang,” katanya.

Abdul Karim memberitahu, Jabatan Muzium Sarawak dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara akan menganjur International Archeology Conference di Hotel Pullman, Miri pada 26 hingga 28 September 2019 dengan tema “Promoting Archaeology Towards Heritage And Tourism”. Jelas beliau, seminar itu diadakan untuk memberi maklumat terkini dalam kajian arkeologi di seluruh dunia termasuk Malaysia, khususnya Sarawak sekaligus meningkatkan kepentingan Gua Niah dalam penyelidikan arkeologi di dunia.

 “Antara lain, Jabatan Muzium Sarawak terlibat dalam melaksanakan beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Projek-projek tersebut adalah seperti, Kompleks Muzium Sarawak dan Jejak Warisan, Muzium Warisan Melayu Darul Hana, Taman Arkeologi Santubong dan Santubong Pusat Wallace, Pemuliharaan dan Menaiktaraf Kubu-Kubu Bersejarah Di Sarawak, Kajian Transformasi Bangunan Lama Residen Miri, Kajian Muzium Lombong Emas, Bau, Transformasi Brooke Dockyard kepada Muzium Maritim, dan Muzium Pembangunan Limbang Galeri Sejarah Pentadbiran Limbang,” ujar beliau.

Abdul Karim pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (Foto- Ukas)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here