SIBU: UKAS melaporkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, budaya kehidupan masyarakat rumah panjang yang menitikberatkan kebersamaan dan saling menghormati mencerminkan kekuatan perpaduan rakyat di negeri ini yang perlu terus dipelihara demi memastikan Sarawak kekal maju dan makmur menjelang 2030.
“Budaya rumah panjang seperti ini melambangkan perpaduan. Apabila kita bersatu dan ada perpaduan, barulah wujud kestabilan. Apabila ada kestabilan, barulah ada kemajuan dan kemakmuran.
“Oleh itu, amat penting untuk kita mengekalkan perpaduan dan kestabilan ini demi memastikan kita terus maju dan makmur menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa Program Lawatan bersama Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia, Ouyang Yujing ke Rumah Joseph Abet di Bawang Assan, pada Rabu.
Datuk Amar Dr Sim menambah, kestabilan yang dinikmati Sarawak ketika ini membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Katanya, pada tahun ini sahaja kerajaan Sarawak melaksanakan projek pembangunan bernilai RM9 bilion selain meneruskan pelbagai bantuan kepada rakyat termasuk dalam bidang pendidikan dan kebajikan.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata, lawatan Ouyang ke rumah panjang sempena sambutan Hari Gawai mencerminkan peningkatan pengiktirafan antarabangsa terhadap Sarawak.
Jelasnya, duta berkenaan sebelum ini pernah mengadakan lawatan ke Kuching dan Miri, namun memilih untuk mengunjungi Bintulu dan Sibu pada musim Gawai tahun ini bagi melihat sendiri budaya serta kehidupan masyarakat Sarawak.
Beliau turut menyifatkan sambutan Hari Gawai sebagai lebih daripada sekadar perayaan tahunan kerana ia berperanan mengukuhkan hubungan kekeluargaan, semangat perkongsian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Turut hadir, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Xing Weiping, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek, ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing dan Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Wong Ching Yong. Sumber: EDISI UKAS




