Program Keagamaan Babitkan Belia Perlu Diperbanyakkan

0
325
Majlis Malam Semarak Cinta Rasul - Ladong Berselawat di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong, Sebuyau

SEBUYAU, 01 April 2019 (SNN)- Program keagamaan membabitkan golongan belia perlu diperbanyakkan. Kelompok belia merupakan golongan yang cetek ilmu agamanya dan mereka pasti akan mudah mempercayai dakyah-dakyah sekular oleh pihak yang mempunyai agenda yang terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar khasnya perkara-perkara yang disebut dalam Al-Quran. Oleh itu, amat penting program keagamaan diperbanyakkan dengan melibatkan golongan belia dan ibu bapa mereka.

Berucap ketika merasmikan Majlis Malam Semarak Cinta Rasul – Ladong Berselawat di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Ladong dekat sini, Menteri Muda Jalan Pesisir merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.27 Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata saluran terbaik untuk memupuk hubungan baik dan semangat kerjasama adalah melalui aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan.

Julaihi berkata program-program keagamaan amat penting kerana cabaran sosial hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat.

“Kita lihat sahaja golongan belia kita yang mudah terpengaruh oleh maklumat dan pengaruh media sosial yang disebarkan oleh pihak yang sengaja mahu memesongkan akidah belia-belia Islam kita,” jelas beliau.

Jawatankuasa surau serta masjid juga disaran memperbanyakkan aktiviti keagamaan bagi membantu mempertingkatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat khasnya golongan belia.

Selain itu, Julaihi menambah bahawa pembangunan fizikal yang diusahakan oleh kerajaan Sarawak tidak langsung melihat latar belakang agama atau kaum di negeri ini.

“Dengan jaringan jalan yang semakin banyak dan ada yang masih dalam proses pembikinan, keutamaan kerajaan Sarawak hari ini adalah memudahkan keperluan rakyat tanpa bersikap pilih kasih,” tambah beliau.

Turut hadir pada majlis anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS)  ialah pegawai JAIS Bahagian Samarahan, Ustaz Bahrin Kawi, Pengerusi Masjid Kampung Sungai Ladong, Kr. Eli Sauni dan masyarakat Kampung Sungai Ladong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here