Program Jelajah Belia Sasarkan Penglibatan Lebih 40,000 Belia Seluruh Sarawak

0
295
Abdul Karim (tengah) bergambar bersama wakil-wakil agensi yang terlibat untuk program Program Jelajah Belia Sarawak 2019 hari ini.Turut kelihatan di sebelah beliau ialah Snowdan dan Shafiee

Kuching, 10 April 2019 (SNN) – Program Jelajah Belia sasarkan penglibatan lebih 40,000 belia seluruh negeri Sarawak. Ini boleh dicapai dengan penglibatan lebih 1000 belia di setiap 40 daerah yang terlibat dengan jelajah ini. Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Program Jelajah Belia Sarawak 2019 akan dirasmikan hujung minggu ini bertempat di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan.

Karim berkata program yang bermula secara rasmi pada hujung minggu ini adalah merupakan program yang bakal berlangsung dua tahun yang mana ia mensasarkan belia yang berusia 40 tahun ke bawah. Dalam usaha mendekati golongan belia di seluruh Sarawak, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan akan menganjurkan Jelajah Belia Sarawak 2019. Program yang padat dengan pelbagai pengisian itu akan diadakan di 40 daerah di seluruh negeri dengan lokasi pertama di Kompleks Sukan Asajaya, Samarahan pada 13 hingga 14 April ini.

 “Program ini akan melibatkan 40 daerah di Sarawak dengan jangka masa dua tahun , iaitu tahun 2019 ( 20 daerah ) dan tahun 2020 ( 20 daerah ). Ini bermaksud program ini disasarkan untuk diadakan di 20 daerah pada tahun 2019 dan 20 lagi pada tahun 2020,” katanya kepada pemberita hari ini di Bangunan Baitul Makmur Petra Jaya.

Karim berharap dalam tempoh sebulan, program itu akan diadakan di dua hingga tiga daerah di Sarawak ini dan dalam tahun ini, sekurang-kurangnya 20 daerah dapat diadakan program yang penuh bermanfaat ini. Tambahnya lagi, kementerian bercadang menganjur tiga jelajah dalam setiap bulan dengan sasaran 20 daerah dari April hingga Disember 2019 disusuli 20 lagi daerah dari Januari hingga Disember 2020. Untuk tujuan itu, kementerian katanya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.1 juta”.

“Saya juga akan merasmikan Program Jelajah Belia yang pertama di kawasan saya, iaitu Asajaya, Samarahan pada hujung minggu ini yang akan menjadi pemula kepada program lawatan sekitar 40 daerah di negeri ini dan penutupan program itu kita akan adakan di Kuching menjelang akhir tahun depan, ” jelasnya.

Abdul Karim berkata program tersebut dijangka berakhir pada Disember 2020 di mana kementerian mensasarkan sekitar 500 hingga 1,000 belia mengambil bahagian dalam setiap daerah. “Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan belia dan persatuan di dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan dan untuk memupuk semangat juang terhadap belia aktif yang bertanggungjawab, bersatu padu dan patriotik,” katanya.

Antara program dan aktiviti yang akan diadakan termasuk sesi  Sembang Belia Bersama Menteri, Motivasi Bersama Ikon Belia Sarawak, Konsert Jelajah Belia Sarawak, acara pencarian bakat ‘ Belia Got Talent’, ‘Sarawak Youth Engagement Concert’, sesi pengenalan bola sepak jalanan, bola jaring, sukaneka, sukan rakyat, gerai jualan, juga pertandingan aktiviti belia-belia tempatan. Terdapat juga gerai jualan yang akan dilaksanakan oleh belia sendiri di mana mereka boleh menjual produk mereka sepanjang program.

Para belia pada ketika ini sentiasa terlibat dalam perniagaan keusahawanan oleh itu sekurang-kurangnya 24 hingga 40 gerai jualan akan dibuka supaya mereka boleh menjual barangan seperti makanan, minuman, pakaian, kraftangan, aksesori dan banyak lagi.

“Kita menganjurkan program ini agar kita dapat melibatkan diri dengan golongan belia kerana kami tidak mahu anak-anak muda melakukan apa-apa aktiviti negatif yang boleh merosakkan keperibadian dan integriti mereka,” katanya.

“Pogram ini juga bertujuan mempertingkatkan penglibatan belia dan persatuan dalam program anjuran kerajaan. Dalam masa yang sama kita juga mahu mencungkil, mengasah dan memberi peluang kepada belia setempat untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka”, katanya lagi.

 “Selain itu, para belia juga sangat berbakat dan tidak ada platform bagi mereka untuk mempamerkan bakat mereka, sebab itu pertunjukan ‘Belia Got Talent’ diadakan untuk mereka menggunakan platform ini dan mempamerkan bakat mereka yang unik dan tersendiri,” ujarnya.

Beliau turut menyeru ahli Parlimen tempatan di daerah mereka yang dilantik agar dapat menghadiri program itu kerana ia amat bermakna bahawa ahli Parlimen dapat bersama mendekati belia di kawasan mereka. Katanya, program di setiap daerah akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tempatan dan bahagian masing-masing.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Residen Daerah, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pendidikan Kesihatan Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pendaftar Pertubuhan Remaja (ROY) , Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA Sarawak (UiTM), Institut pengajian tinggi (Awam) / Institut pengajian tinggi (swasta) dan sekolah -sekolah.

Hadir sama, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, ADUN Daro Shafiee Ahmad dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Hii Chang Kee.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here