PKP Fasa 4 : Sarawak Turut Benarkan Keluar Berdua

0
461
Sekatan jalan di Kota Samarahan semasa PKP

KUCHING, 30 April 2020 (SNN): Sarawak memutuskan untuk mengikuti peraturan terbaharu Kerajaan Persektuan yang membenarkan dua ahli keluarga terdekat untuk keluar rumah dengan satu kenderaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan itu berkuatkuasa serta-merta, hari ini.”Mulai hari ini, Sarawak akan mematuhi peraturan peringkat pusat itu yang membenarkan dua anggota keluarga terdekat untuk melakukan perjalanan dengan kenderaan untuk tujuan membeli makanan, ubat-ubatan, keperluan harian, makanan tambahan atau barang lain dari mana-mana penyedia perkhidmatan penting atau untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan dan perubatan,” katanya dalam kenyataan, pagi ini.

Semalam di Putrajaya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan membenarkan dua ahli keluarga berada dalam satu kenderaan dan keputusan itu dibuat setelah mendapat maklum balas orang ramai.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menjelaskan, ketika diminta memberi maklum balas berhubung perkara itu di Kota Samarahan semalam, beliau belum menerima maklumat rasmi dari Kuala Lumpur mengenainya.

Beliau berkata, setiap maklumat itu perlu mendapat pengesahan rasmi kerana beliau bimbang banyak berita palsu yang tersebar di media sosial.

“Kita perlu berhati-hati ketika membuat keputusan penting pada masa yang sangat kritikal seperti ini kerana ini boleh memberi kesan yang besar di negeri ini,” katanya.

Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga, Sarawak membenarkan dua orang melakukan perjalanan dengan kenderaan atau motosikal di luar bandar.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya untuk petani yang pergi dan balik dari sawah untuk menuai padi, menuai buah kelapa sawit serta menoreh getah.

Katanya, walaupun membenarkan dua orang menaiki satu kenderaan, kerajaan masih bersungguh-sungguh memerangi pandemik COVID-19.

Justeru, katanya orang ramai harus terus mematuhi langkah pencegahan dengan mengurangkan pergerakan keluar rumah, menggunakan alat perlindungan diri serta mengamalkan penjarakan sosial.

Terdahulu kebenaran itu diberikan kerajaan menerusi kemas kini Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

Peraturan yang diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu, berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, membenarkan individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain disertai seorang anggota keluarga yang tinggal serumah dengannya.

Individu yang keluar ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan atau perubatan pula, dibenarkan untuk disertai mana-mana orang lain yang dianggap perlu secara munasabah, selaras Seksyen 4(1)(b)(ii) peraturan sama.

Masa sama, warta kerajaan itu mengekalkan peraturan sebelum ini, iaitu mereka yang mahu keluar membeli makanan, barangan keperluan harian, perubatan, rawatan dan lain-lain, hanya dibenarkan bergerak tidak melebihi 10 kilometer (km) dari kediaman masing-masing.

Namun, orang ramai diberi kelonggaran bergerak melebihi 10km jika keperluan itu tiada dalam lingkungan jarak berkenaan dari rumah masing-masing.

Seksyen 5 pula memperuntukkan orang ramai perlu mendapatkan kebenaran bertulis dari balai polis berhampiran kediaman masing-masing, jika mahu melakukan pergerakan jarak jauh atau bagi sebab selain keperluan harian dan perubatan.

Mana-mana pihak yang melanggar peraturan itu boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjarakan sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

Pada 21 Mac lalu, Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan hanya seorang wakil atau ketua keluarga dibenarkan keluar dari rumah sekiranya ada keperluan, untuk membeli barangan keperluan atau mendapatkan ubat-ubatan.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP Fasa 3 yang berakhir semalam, dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi bermula hari ini hingga 12 Mei depan.

Sumber : JPBN, BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here