PESRON Sarawak Turun Padang Bagi Kenal Pasti Atlet OKU Berpotensi Wakili Sarawak

0
189
Hajah Fatimah semasa menerima kunjungan hormat Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur (MASJA)

KUCHING,  18 April 2019 (SNN)– Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON) Sarawak akan turun padang ke Sri Aman dan Mukah bagi mencari bakat dan mengenal pasti bakat muda orang kelainan upaya (OKU) yang akan mewakili negeri dalam kejohanan di peringkat kebangsaan.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) YB Dato’ Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata PESRON Sarawak menyokong program dan Pelan Tindakan KWKPK  iaitu “Talent Identification” (TID) dalam mencari atlet pelapis yang akan mewakili negeri.

“PESRON akan ke Sri Aman dan Mukah dalam tempoh 3 minggu untuk mencari bakat muda OKU dalam bidang sukan untuk di latih sebagai pelapis atlet OKU Sarawak. Rombongan terdiri daripada jurulatih akan turun padang dalam memberikan bimbingan dan nasihat latihan dalam sukan. Setiap atlet OKU akan diuji dan direkod bagi memantau prestasi atlet OKU yang dilatih,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Sukan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri Sarawak (PESRON) Sarawak di Bangunan Baitulmakmur (MASJA), semalam. Turut hadir Presiden PESRON Sarawak Matthew Chin Hiong Choi, Setiausaha PESRON Mohamad Azlan Bujang, Penolong Setiausaha PESRON Sia Chin Hoo (Mary) dan AJK PESRON.

Hajah Fatimah yang juga Penaung PESRON menjelaskan pihaknya juga telah mengadakan persediaan rapi bagi menghadapi Sukan Para SOPMA di Johor pada 2020 dan Sukan Malaysia (SUKMA) pada Julai serta ParaSukma bulan Ogos 2020. “Dalam menghadapi Sukan Para SOPMA, SUKMA dan ParaSUKMA, kita telah melakukan persediaan dengan menyediakan Pasukan OKU Sarawak menerusi Program Atlet Elit Sarawak 2019”. 

“Pusat sukan Elit di Kuching adalah untuk atlet yang pernah mendapat dua atau lebih pingat di mana mereka akan dipanggil semula untuk memulakan latihan susulan untuk kejohanan yang seterusnya. Seramai 20 orang akan terlibat dalam latihan tersebut mulai bulan Mac 2019 melibatkan 8 orang dalam sukan olahraga, 6 orang sukan renang, 3 orang dalam sukan powerlifting, dua orang dalam sukan 10 Pin Bowling dan seorang dalam sukan badminton. Manakala, 80 orang atlet yang kebanyakannya dalam sukan olahraga akan mula berlatih mulai bulan Mei ini,” jelasnya. 

Bagi atlet OKU yang tidak berjaya memperoleh emas dalam acara sukan yang dipertandingkan, tetapi menunjukkan potensi tinggi untuk mendapat pingat akan ditapis dan diberikan latihan yang sewajarnya.”Mereka yang tidak berjaya memenangi emas, tetapi menunjukkan potensi memperolehi pingat emas dan rajin serta gigih berusaha akan dipilih dan ditapis untuk ditempatkan di tempat latihan. Untuk pelapis, mereka terdiri daripada atlet yang menang pingat perak dan gangsa. Bagi atlet yang tidak berjaya masuk bahagian program atlet Elit, mereka secara automatik akan diserap sebagai atlet pelapis,” katanya. 

PESRON akan meraikan ulang tahun ke-10 penubuhannya dengan merancang pelbagai aktiviti seperti penghasilan buku pertama mengenai Pencapaian dan Pembangunan Sukan OKU di Sarawak.  Turut diadakan, Dinner Gala bagi mengenang jasa-jasa atlet OKU yang pernah berkhidmat dan telah lama berjasa kepada sektor pembangunan sukan OKU Sarawak, pameran kejayaan dan pencapaian para sukan OKU Sarawak melalui surat khabar majalah dan mana-mana risalah yang berkaitan dengan pembangunan sukan dan aktiviti ‘Fun Run‘.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here