More
    Home Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak Bantah Pindaan Peraturan Pertubuhan

    Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak Bantah Pindaan Peraturan Pertubuhan

    KUCHING, 29 April 2019 (SNN)-  Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sarawak membantah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang diwartakan Kerajaan Persekutuan pada 22 April lalu. Perkara itu ditegaskan pengerusinya Datuk Sylvester Entri Muran pada sidang media di sini, hari ini.

    “Kami, pengerusi daripada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bersama Ahli-ahli Jemaah Pengarah PPN Sarawak mewakili 171,000 ahli peladang di seluruh sarawak sebulat suara dan sepakat kata membantah Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 April 2019 melalui warta Kerajaan Persekutuan pada 22 April 2019. Sehubungan itu satu memorandum akan dihantar kepada Pendaftar Lembaga Pertubuhan Peladang dalam waktu terdekat ini,” katanya.

    Entri berkata bantahan terhadap pindaan tersebut dibuat berlandaskan beberapa fakta, pertama ia bertujuan lebih kepada ingin memperkukuhkan kepentingan politik daripada bertanggungjawab menjaga kepentingan dan hak pemegang saham pertubuhan itu di seluruh negara.

    Menurutnya ia dibuktikan dalam pindaan itu, pelantikan Ahli Jemaah Pengarah oleh menteri di peringkat Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan adalah lebih daripada Ahli Jemaah Pengarah yang dipilih oleh perwakilan ahli-ahli peladang. Malah ujarnya bilangan Ahli Jemaah Pengarah dalam pindaan lebih kecil daripada sebelum ini.

    “Ini sudah pasti adalah lebih senang untuk Menteri campur tangan dalam urusan dan keputusan mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah berbanding Ahli Jemaah Pengarah sebelum ini. Maka suara pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang tidak akan didengar oleh Pendaftar dan Menteri berkenaan,” ujarnya.

    Entri berkata PPN Sarawak membantah pindaan itu kerana berpendapat ia adalah untuk memenuhi kehendak kepentingan politik, kepimpinan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Lembaga Pertubuhan Peladang boleh dianggap menyalahguna kuasa tanpa mengira hak dan kepentingan pemegang saham. Pindaan itu juga katanya, tidak akan memulihkan Pertubuhan Peladang seperti dinyatakan Kepimpinan Kementerian dan Lembaga Pertubuhan Peladang.

    “Malah pertubuhan ini akan lebih menjurus kepada memudaratkan Pertubuhan Peladang,” katanya. Menurutnya lagi Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 juga mengetepikan kepentingan pemegang-pemegang saham untuk meningkatkan pendapatan melalui Pertubuhan Peladang.

    Katanya, Pendaftar Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani setakat ini telah membuat reformasi peladang yang hanya memberi tumpuan khusus kepada peraturan-peraturan perlembagaan yang tidak ada kaitan untuk membangunkan Pertubuhan Peladang.

    “Lembaga Pertubuhan Peladang, nampaknya memfokus kepada ingin menimbulkan masalah dan menyusahkan pemegang-pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang melalui pindaan peraturan yang jelas akan memudaratkan pemegang saham,” tegasnya.

    Beliau berkata Pendaftar Pertubuhan Peladang, sebagai pendaftar sepatutnya arif dengan peraturan perlembagaan, namun telah gagal menasihati menteri bertanggungjawab dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang bahawa pindaan itu tidak boleh dibuat tanpa memikirkan kesan pelaksanaannya ke atas hak serta kepentingan pemegang saham.

    “Kami hilang kepercayaan terhadap Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang kerana tidak berwibawa dan tidak mengutamakan kepentingan saham dalam pertubuhan peladang seperti sepatutnya,” ujar beliau.

    Berikut merupakan isi kandungan Memorandum Bantahan terhadap Pindaan Peraturan Pertubuhan :

    Kepada Pendaftar Lembaga Pertubuhan Peladang ;

    1. Kami, Pengerusi daripada 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bersama dengan AhIi-Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak mewaklili 171,000 ahli Peladang di seluruh Negeri Sarawak sebulat suara dan sepakat kata membantah pindaan peraturan-peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang telah ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 19 April 2019 melalui warta Kerajaan Persekutuan pada 22 April 2019.

    2. Bantahan terhadap pindaan tersebut adalah berlandaskan beberapa fakta berikut:

    2.1 Pindaan tersebut adalah bertujuan lebih kepada ingin memperkukuhkan kepentingan politik daripada bertanggungjawab menjaga kepentingan dan hak pemegang saham Pertubuhan Peladang di seluruh Malaysia. Ini adalah terbukti dalam pindaan di mana pelantikan AJP oleh Menteri di peringkat Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan adalah lebih daripada AJP yang dipilih oleh perwakilan ahIi-ahli Peladang. Malah bilangan AJP dalam pindaan adalah lebih kecil daripada sebelum ini. Ini sudah pasti adalah lebih senang untuk Menteri campurtangan dalam urusan dan keputusan mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah berbanding dengan Ahli Jemaah Pengarah sebelum ini. Maka suara pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang tidak akan didengar oleh Pendaftar dan Menteri berkenaan.

    2.2 Pindaan ini adalah untuk memenuhi kehendak kepentingan politik di mana kepimpinan Kementerian Pertanian dan Lembaga Pertubuhan Peladang boleh dianggap menyalahguna kuasa tanpa mengira hak dan kepentingan pemegang saham. Pindaan ini juga tidak akan memulihkan Pertubuhan Peladang seperti yang telah dinyatakan oleh kepimpinan Kementerian dan Lembaga Pertubahan Peladang. Malah, pindaan ini akan lebih menjurus kepada memudaratkan Pertubuhan Peladang.

    2.3 Mengenepikan kepentingan pemegang-pemegang saham untuk meningkatkan pendapatan melalui aktiviti Pertubuhan Peladang. Pendaftar Lembaga Pertubuhan Peladang dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani setakat ini telah membuat reformasi Peladang yang hanya memberi tumpuan khusus kepada peraturan-peraturan Perlembagaan yang tidak ada kaitan untuk membangunkan Pertubuhan Peladang. Pendaftar LPP nampaknya fokus kepada ingin menimbulkan masalah dan menyusahkan pemegang-pemegang saham dalam Pertubuhan Peladang melalui pindaan peraturan yang jelas akan memudaratkan pemegang saham.

    2.4 Pendaftar Pertubuhan Peladang, sebagai pendaftar yang sepatutnya arif dengan peraturan perlembagaan, telah gagal menasihati Menteri dan Pengerusi LPP supaya pindaan ini tidak boleh dibuat tanpa memikirkan kesan daripada pelaksanaannya, di mana hak dan kepentingan pemegang saham adalah yang utama. Kami hilang kepercayaan terhadap Ketua Pengarah LPP kerana tidak berwibawa dan tidak mengutamakan kepentingan pemegang saham dalam pertubuhan peladang seperti yang sepatutnya.

    Dengan alasan-alasan tersebut di atas, kami daripada 28 Pengerusi PPK Sarawak dan AJP PPN Sarawak bersetuju keatas perkara-perkara seperti berikut;

    (1) Sebulat suara menolak pelaksanaan Peraturan Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 melalui Warta Kerajaan Persekutuan pada 22 April 2019.

    (2) Supaya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang membatal atau menarik balik pindaan tersebut dengan serta merta.

    (3) Menangguhkan semua Mesyuarat Agung PPK di seluruh Sarawak dan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak sehingga pindaan ini di batalkan oleh LPP dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

    Memorandum bantahan ini telah dipersetujui dan ditandatangani  oleh semua  AJP PPN Sarawak  Dan Pengerusi-Pengerusi 28 PPK di Sarawak.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang siap Julai ini-Julaihi

    0
    KUCHING, 28 MAC 2024 (SNN): Kerja-kerja fizikal menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang bermula sejak 1 Mac 2021 lalu dijangka siap sepenuhnya...