Michael Ang Sah Peluk Islam Sejak Setahun Lalu

0
1152
Michael Ang Hai Swee

KUALA LUMPUR, 30 April 2019 (SNN)-  Penerbit dan pengarah, Michael Ang membuat pengakuan sudah memeluk Islam sejak setahun lalu. Michael berkata, dia membuat pengakuan itu kerana tidak mahu masyarakat terus berteka-teki mengenai status agamanya, terutama apabila dia ke masjid untuk menunaikan solat.

“Alhamdulillah, sudah lebih setahun saya memeluk Islam dan sudah bersedia memberitahu perkara ini kepada semua. Selama saya mendalami agama Islam, banyak perkara yang saya harus pelajari. Rasanya lebih baik saya berterus terang daripada orang melihat saya di masjid dan memperkatakan perkara ini.

“Saya juga tidak mahu perkara ini diperbesarkan kerana ia antara saya dan Allah,” kata Michael dalam rakaman video yang dimuat naiknya di YouTube. Menerusi video  tersebut, pemilik syarikat penerbitan Cube Film Sdn Bhd ini memberitahu pengalamannya sejak setahun bergelar mualaf dan meminta tunjuk ajar untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik.

Malah menerusi YouTube itu juga, terdapat paparan kad akuan Islam yang terdapat gambar dan nama Islam Michael yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor. Michael yang masih mengekalkan nama asalnya, Michael Ang Hai Swee, memeluk agama Islam di hadapan Ustaz Sheikh Hussain Yee dan Ustaz Firdaus Wong.

Michael yang seringkali dikelilingi rakan-rakan yang beragama Islam, dikatakan bergelar mualaf apabila sudah mula berpuasa pada tahun 2018. Michael berkongsi secara terbuka dengan peminatnya apabila memuat naik gambar berbuka puasa di dalam kereta menerusi akaun Instagram miliknya. 

Michael sebelum ini, banyak mengarahkan drama-drama popular Melayu seperti Hero Seorang Cinderella, Suri Hati Mr Pilot, Ti Amo Sweetheart 100 Hari dan banyak lagi.  Pengarah filem Kimchi Untuk Awak itu juga turut memohon peminat supaya mendoakan dia kekal sebagai seorang Islam sehingga akhir hayat.

“Doakan saya kekal pada jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar daripada semua. Semoga kita dilihat baik di mata Allah,” katanya. Sumber- BH & Youtube.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here