More
    Home Persatuan Melayu Sarawak berjuang dengan satu agenda

    Persatuan Melayu Sarawak berjuang dengan satu agenda

    KUCHING, 6 Mac 2019 (SNN) – Persatuan-persatuan Melayu Sarawak sepakat berjuang dengan satu agenda yang sama demi keunggulan bangsa Melayu Sarawak.  Walaupun negeri Sarawak sangat besar dan Melayu Sarawak bertaburan di semua Bahagian, namun persatuan-persatuan Melayu mesti berjuang dalam satu saf, satu rentak dan satu suara.

    Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) dan Persatuan Melayu Miri (PMM) sepakat untuk membela masyarakat Melayu Sarawak.  Ini adalah hasil muzakarah antara Datu Dr. Sanib Said, Pengurus Besar, AKYBMS dan Tuan Haji Razali Alison, Yang Dipertua PMM di pejabat AKYBMS di Jalan Rodway, Kuching semasa kunjung hormat hari ini.

    Memetakan Satu Agenda Bersama

    Jarak geografi negeri Sarawak yang memisahkan masyarakat mestilah diatasi dengan memetakan satu agenda bersama.  Kemudahan teknologi maklumat akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyalurkan berita dan pandangan dari persatuan di semua Bahagian.  Dalam hubungan ini SNN ( www.sarawaknewsnetwork.com) telah menawarkan keutamaan menyiarkan berita dari persatuan-persatuan Melayu Sarawak. SNN merupakan sebuah portal berita yang telah dimulakan pada bulan Mac 2017 dengan cogankata Berita Tanpa Sempadan dan Tanpa Masa; Borderless and Timeless News.

    Sanib sedang menyampaikan taklimat

    PMM yang diketuai oleh YDP Razali Alison adalah dalam rangka lawatan ke Bandaraya Kuching semenjak 4 Mac 2019.  Beliau telah diiringi oleh Setiausaha, Basar Nasib, Ketua Pemuda dan beberapa orang lagi.  Semalam mereka telah mengunjungi Persatuan Melayu Sarawak (PMS) dan hasil daripada muzakarah mereka telah membuat laporan polis terhadap pemilik FB Danny A’antonio, berasal dari Miri, yang telah menghina Nabi Muhammad SAW dan juga menghasut orang ramai untuk membenci agama Islam, agama rasmi negara ini.

    Ulang Tahun ke-60 PMM

    Razali memaklumkan bahawa PMM akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-60 pada tahun ini. Beliau berkata walaupun PMM asalnya telah didirikan sebelum Perang Dunia Kedua namun PMM telah madot kerana ditekan oleh kolonial British selepas tindakan berani Rosli Dhoby dan Rukun 13 pada tahun 1949.  Berbagai-bagai acara akan diadakan dan beliau mempelawa AKYBMS untuk turut serta, khususnya untuk mempersembahkan sebabak Bangsawan Sultan Tengah.

    Rombongan PMM akan pulang ke Miri pada malam ini dengan membawa hasil kunjung hormat yang penting.

    Sanifa
    Chief Editor

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Komplek Wisma Melayu Sarawak milik AKYBMS kini capai kemajuan 30 peratus...

    0
    KUCHING, 29 MAC 2024 (SNN): Peratusan Projek Pembinaan Wisma Melayu milik Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di Jalan Dilpomatik, Petra Jaya kini...