Penyakit Berkaitan Jerebu Meningkat di Sarawak

0
660
Suasana jerebu yang masih berlaku di Kuching ( Foto : SNN)

KUCHING, 21 September 2019 (SNN)-Terdapat peningkatan penyakit-penyakit berkaitan jerebu seperti asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan (Upper Respiratory Tract Infection – URTI) dicatatkan di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “terdapat peningkatan asma sebanyak 18.9 peratus iaitu dari 258 kepada 307 kes pada minggu 37 iaitu tempoh (8 hingga 14 September 2019) berbanding purata minggu 27 hingga minggu 36 (dari 30 Jun hingga 7 September)”.

“Begitu juga dengan penyakit konjuntivitis, terdapat peningkatan sebanyak 80.4 peratus (63 kepada 114 kes) pada tempoh masa yang sama dan penyakit URTI menunjukkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus (1,788 kepada 1,868 kes),” katanya menerusi satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata KKM mengambil maklum mengenai peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di mana Bahagian Sri Aman, Sarawak telah melebihi 300 dengan status kualiti udara pada tahap “Bahaya” mulai 17 September 2019.

Malahan menurut kementerian Sri Aman telah mencatatkan IPU melebihi 400 iaitu tahap “Sangat Bahaya” pada jam 8 pagi pada Jumaat.

Sementara itu, Bahagian-Bahagian lain di Sarawak yang terlibat adalah Kuching yang mengalami kualiti udara “Sangat Tidak Sihat” dengan IPU melebihi 200 bermula pada 14 September 2019.

Manakala Bahagian Samarahan, Sibu dan Sarikei bermula pada 19 September 2019 dan berterusan sehingga kini.

“KKM memantau penyakit-penyakit berkaitan jerebu iaitu penyakit asma, konjuntivitis dan jangkitan saluran pernafasan  di 15 buah fasiliti sentinel jerebu KKM di negeri ini,” katanya.

Manakala ujarnya Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menasihatkan orang ramai terutamanya golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar dan mereka yang mengalami penyakit seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

Katanya orang ramai boleh datang ke fasiliti kesihatan terdekat bagi pemeriksaan dan rawatan sewajarnya jika mengalami gejala dan tanda seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru.

Sumber : KKM Sarawak, Utusan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here