Penjawat Awam Sarawak Dapat “Durian Runtuh” 18 Disember ini

0
235
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 30 November 2019 (SNN): Kakitangan awam Sarawak akan mendapat “durian runtuh” iaitu menerima bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 pada 18 Disember ini sebelum perayaan Hari Krismas. 

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion berkata, bonus itu akan dibayar pada hari sama penjawat awam negeri menerima gaji.

“Ia akan dibayar sebelum Krismas,  iaitu pada 18 Disember, sama hari mereka (penjawat awam) terima gaji.

“Kita sedang bercakap tentang 16,000 penjawat awam negeri dari pelbagai kategori dari pengurusan hingga profesional dan pengurusan sokongan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menangguhkan Karnival Kesihatan Perkhidmatan Awam Sarawak di bangunan lama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini,  hari ini.

Bagaimanapun, Jaul berkata, bantuan khas itu tidak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun kerana ia bergantung kepada prerogatif ahli-ahli lembaga masing-masing.

“PBT dan badan berkanun akan memutuskan perkara ini sendiri. Mereka boleh memilih untuk menerimanya, jadi mereka perlu membawa ia ke peringkat ahli lembaga mereka masing-masing.

“Sebab itu kita bercakap tentang penjawat awam negeri ‘dolok’ (terlebih dahulu). PBT dan badan berkanun boleh memutuskan sendiri.

“Mereka boleh membawa perkara ini untuk dipertimbangkan oleh ahli lembaga mereka dan ia terpulang kepada kemampuan mereka,” jelasnya.

Pada persidangan DUN 13 November lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan bantuan khas kewangan dua bulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri.

Katannya, ia akan dibayar pada hujung tahun ini sebagai menghargai sumbangan mereka yang bekerja gigih. Sebagai contoh pegawai daerah dan pegawai di lapangan yang terpaksa berkorban meninggalkan keluarga.

“Mereka terpaksa bekerja di luar dan dipanggil waktu malam untuk menyiapkan projek terutama melibatkan projek Transformasi Luar Bandar (RTP) seperti yang kita arahkan dan harus meninggalkan keluarga.

“Maka itu, kita amat menghargai malah berpuas hati dengan perkhidmatan mereka. Sesungguhnya, kita amat berterima kasih kepada mereka,” katanya.

Abang Johari berkata, tahun lalu, Kerajaan Sarawak turut memberi bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji kepada perkhidmatan awam negeri.

“Kita beri dua bulan gaji pokok kepada kakitangan kerajaan negeri khususnya untuk menghadapi perbelanjaan pada tahun baru dan  sekolah anak,” katanya. Bayaran itu, kata beliau, akan dibuat sebelum penghujung tahun ini.

“Kerajaan GPS amat prihatin dengan kebajikan kakitangan Perkhidmtan Awam Negeri Sarawak khususnya dalam menghadapi beban kewangan akibat kos sara hidup  yang semakin meningkat,” ujarnya.

Sumber : Utusan Borneo, UKAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here