Industri Nipah Dan Gula Apong Tanaman Strategik Bernilai Tinggi di Sarawak

0
326
Pokok nipah/ apong yang menghasilkan gula apong

KUCHING, 30 November 2019 (SNN): Perusahaan nipah dan gula apong mempunyai potensi menjadi tanaman stategik yang bernilai tinggi di Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata dengan kepesatan penyelidikan dan pembangunan industri makanan hari ini, kepelbagaian produk berasaskan gula apong yang diusahakan kini dapat dipelbagaikan dan mendapat permintaan meluas di pasaran.

“Seperti di DUN Demak Laut, kebanyakan kawasannya seperti di Kampung Pinggan Jaya, Kampung Tanjong Bako, Kampung Semilang Beradik, Kampung Muara Tebas, Kampung Goebilt, Kampung Senari dan Kampung Bako masih diseliputi pokok-pokok nipah dan ini memberikan sumber kepada pengeluaran gula apong secara komersial.

“Selain gula apong, daun-daun nipah boleh digunakan dengan pelbagai kegunaan untuk masakan dan kraftangan.

“Kepelbagaian penghasilan barangan daripada nipah memberi nilai tambah kepada potensi gula apong di negeri ini,” katanya. Beliau berkata selepas melawat kawasan nipah dan perusahaan di Kampung Pinggan Jaya pada Khamis.

Baru-baru ini Craun Research Sdn Bhd telah membuat kajian dan menghasilkan serbuk gula apong yang boleh menggantikan gula dalam minuman. Serbuk gula apong amat tinggi anti-oksida dan penghasilannya akan membuka ruang atau mempelbagaikan penggunaan gula apong.

Tambah Dr Haji Hazland lagi menariknya gula apong hanya dihasilkan di Sarawak iaitu di Kuching dan Betong yang mempunyai banyak sumber pokok nipah.

“Sudah tiba masanya Kerajaan Sarawak mewujudkan Taman Industri Nipah dan Pembuatan Gula Apong secara komersial untuk keperluan domestik dan eksport.

“Selain mempunyai kelebihan dan potensi yang tinggi, gula apong juga boleh dijadikan produk asli keluaran tempatan selain produk berasaskan gula apong lain bagi memenuhi sektor pengeluaran makanan di negeri ini,” tambahnya.

Dr Hazland menunjukkan buah nipah daripada pokok apong

Gula Apong di Sarawak

Gula apong dihasilkan menggunakan nira pokok nipah. Pokok nipah adalah sejenis palma yang tumbuh di lingkungan hutan bakau atau daerah pasang-surut dekat tepi laut, juga dikenali sebagai buyuk di Indonesia. Penggunaan gula apong oleh penduduk tempatan pula sangat popular sebagai bahan untuk membuat pelbagai jenis kuih muih tradisional masyarakat Sarawak dan ia juga dijadikan perisa bagi menambah kelazatan sesuatu makanan atau masakan di samping dipercayai kononnya dapat mengurangkan penyakit kencing manis dan darah tinggi dalam masyarakat dahulu kala.

Sekiranya di Melaka terkenal dengan gula Melaka, Pahang dengan gula kabung (enau), Sarawak pula terkenal dengan gula apong. Sungguhpun manisan gula ini kelihatan hampir serupa, namun sebenarnya ia berbeza sama ada dari segi bahan yang digunakan bagi menghasilkan ketiga-tiga jenis gula ini. Rasa dan haruman antara gula Melaka, gula Kabung dan gula apong juga ada bezanya.

Dari segi perbezaan bahan penghasilan, gula Melaka diperbuat daripada nira pokok kelapa, gula Kabung diperbuat daripada nira pokok Kabung, manakala gula apong pula terhasil daripada nira pokok nipah atau dikenali sebagai pokok apong oleh penduduk tempatan Sarawak.

Proses membuat gula apong bermula dengan mengumpulkan nira pokok nipah. Selepas itu ia perlu dimasak untuk berjam-jam lamanya supaya menjadi pekat. Sepanjang tempoh itu, ia perlu dikacau tanpa henti supaya gula apong itu tidak hangus, sehinggalah ia menjadi likat. Peralatan yang digunakan masih menggunakan kaedah tradisional, iaitu bekas kayu dan tempat memasak daripada tanah.

Gula apong yang siap akan dijual dalam bentuk cecair pekat berbanding gula Melaka dan gula Kabung yang dijual dalam bentuk ketulan. Gula apong yang likat ini biasanya akan dimasukkan dalam bekas plastik ataupun bungkusan plastik untuk tujuan jualan dan ia amat mudah ditemui di tamu-tamu yang terdapat di Sarawak. Ia mempunyai permintaan yang tinggi sebab banyak digunakan dalam penyediaan makanan dan minuman.

Manisan gula apong banyak digunakan dalam pembikinan kuih. Antara kuih yang mesti menggunakan gula ini adalah kuih penyaram (atau dikenali sebagai pinjaram di Sabah) yang sememangnya digemari oleh orang Sarawak dan Sabah. Selain penyaram, manisan gula ini juga banyak digunakan dalam penyediaan kuih manis (beras pulut), kuih selorot, rojak, rempah BBQ dan lain-lain. Selain kuih, manisan gula Apong turut digunakan dalam penyediaan cendol, Teh C Special dan juga ais krim. Salah satu ais krim yang terkenal di Sarawak iaitu aiskrim gula apong adalah menggunakan pemanis gula apong dalam bahannya.

Kuih penyaram merupakan kuih yang menggunakan gula apong sebagai ramuan utamanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here