Penjawat Awam Digalak Sertai Aktiviti Sukan Bagi Memupuk Perpaduan dan Semangat Berpasukan

0
417
Abdul Wahab bersama sebahagian tetamu semasa Majlis Malam Mesra Sekalung Budi yang dianjurkan oleh Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok, bertempat di Dewan Rumah Dayak, Saratok, malam tadi

Saratok, 07 April 2019 (SNN)- Penjawat awam digalak sertai aktiviti sukan bagi memupuk semangat berpasukan dan sekaligus mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat. Ini kerana melalui penglibatan dalam sukan mampu  mengetepikan perbezaan dalam pangkat, kedudukan mahupun latar belakang agama dan bangsa.  

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N38 Kalaka, merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, YB Datuk Hj Abdul Wahab Bin Aziz, ADUN N38 Kalaka berkata, aktiviti sukan juga dapat melahirkan semangat serta menyedarkan penjawat awam dan masyarakat seluruhnya tentang perasaan bangga menjadi rakyat Sarawak.

“Kejohanan bola tampar contohnya dapat memupuk semangat kesukanan dalam kalangan ahli kelab, sekaligus dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya semasa Majlis Malam Mesra Sekalung Budi yang dianjurkan oleh Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok, bertempat  di Dewan Rumah Dayak, Saratok, malam tadi.

Abdul Wahab dalam ucapannya juga berkata, setiap individu sudah pasti memiliki rasa cinta akan bangsa dan negeri ini, dan melalui sukan kita juga dapat melahirkan modal insan yang patriotik serta mempunya semangat kekitaan. Perkara ini boleh dilihat melalui kerjasama di antara ahli pasukan yang bertanding seterusnya melahirkan semangat kekitaan dalam kalangan ahli pasukan/kelab khasnya, dan rakyat Sarawak amnya.

Dalam ucapannya beliau turut mengucapkan tahniah kepada Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok yang telah berjaya menganjurkan pertandingan bola tampar antara cawangan kelab perubatan  dan kesihatan seluruh Negeri Sarawak. Pertandingan yang berlangsung selama dua hari (6-7 April 2019) menyaksikan penyertaan yang amat menggalakkan daripada kelab perubatan dan kesihatan seluruh Sarawak. Sebanyak  26 kategori penyertaan yang melibatkan 14 pasukan bagi kategori lelaki, dan 12 pasukan bagi kategori wanita.

Mengakhiri ucapannya, Abdul Wahab turut mengumumkan peruntukan Geran ADUN Kalaka sebanyak RM18K untuk Kelab Perubatan Saratok dan RM12K untuk Persatuan Kakitangan Islam Perubatan Saratok. Pengumuman beliau disambut dengan tepukan gemuruh oleh hadirin yang hadir.

Majlis turut dimeriahkan dengan  penyampaian insentif “Jasamu Dikenang” serta persembahan karaoke dan  cabutan bertuah di kalangan ahli kelab yang hadir.

Turut hadir pada majlis tersebut, Dr  Munirah Jamilah Binti Jahidin, wakil Pengarah Hospital merangkap Penasihat Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok, Abang Putra Bin Abang Junidi, Pengerusi Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok, AJK serta ahli Kelab Perubatan Sarawak Cawangan Saratok.

Abdul Wahab menyampaikan insentif kepada Pengerusi Kelab Perubatan, Abang Putra semasa Majlis Malam Mesra Sekalung Budi yang dianjurkan oleh Kelab Perubatan Sarawak
Cawangan Saratok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here