Projek Jalan Pesisir Dari Jalan Pasi,Sarikei Ke Tg.Manis,Mukah dan Jambatan Batang Rajang,Sarikei Bernilai RM321 juta Dibiayai Sepenuhnya Kerajaan Sarawak

0
398
Abang Jo menyampaikan surat tawaran kontrak membina Jalan Pasi,Sarikei ke Tg Manis,Mukah termasuk pembinaan Jambatan Batang Rajang,Sarikei kepada Pengerusi Metrobrite Engineering Sdn Bhd pada Majlis Pecah Tanah Jalan Pesisir Dari Jalan Pasi,Sarikei Ke Tg.Manis,Mukah/Jambatan Batang Rajang,Sarikei

Sarikei, 06 April 2019 (SNN)- Projek jalan pesisir dari Jalan Pasi, Sarikei Ke Tg.Manis, Mukah dan Jambatan Batang Rajang, Sarikei yang bernilai RM321 juta akan dibiayai sepenuhnya Kerajaan Negeri Sarawak. Kerajaan Sarawak akan terus membangunkan infrastruktur seperti jalan pesisir dan jambatan dalam usaha mentransformasikan kawasan luar bandar di Sarawak.

YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, komitmen Kerajaan Sarawak adalah tinggi dan menyeluruh dalam usaha menyediakan pelbagai infrastruktur berkenaan ke arah meningkatkan taraf serta kualiti hidup penduduk luar bandar Sarawak. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Jalan Pesisir Dari Jalan Pasi,Sarikei Ke Tg.Manis,Mukah/Jambatan Batang Rajang,Sarikei di sini hari ini.

“Hari ini, kita merasmikan projek jalan pesisir iaitu Jalan Pasi, Sarikei ke Tanjung Manis, Mukah dan Jambatan Batang Rajang di sini sekali gus mengubah landskap pembangunan di kawasan wilayah tengah ini.

Abang Jo menambah, projek yang dijangka siap dalam tempoh empat tahun itu akan memendekkan jarak perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis. Apabila siap projek jalan raya dan jambatan ini kelak, penduduk setempat hanya mengambil masa kira-kira 45 minit berbanding sekitar 3 jam untuk ke Sarikei atau Tanjung Manis kelak”.

“Projek jalan raya sejauh 17 km dan pembinaan sebuah jambatan sepanjang 1.2 kilometer yang memakan kos sebanyak RM321 juta ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,”ujarnya. “Pembinaan infrastruktur yang sudah lama dinanti-nantikan oleh penduduk setempat ini bukan sahaja bakal memudahkan perhubungan tetapi juga berupaya meningkatkan taraf sosial ekonomi mereka,” tambahnya lagi.

Abang Jo meletak sambungan bahagian tengah model Jambatan Batang Rajang bersama beberapa tetamu kehormat yang lain. Turut kelihatan Douglas Unggah, Awg Tengah, Dr Sim, Julaihi Narawi, Len Salleh serta beberapa yang lain

Hadir dalam majlis yang sama ialah ADUN N.27 Sebuyau, merangkap Menteri Muda Jalan Pesisir Sarawak, YB Datuk Haji Julaihi Haji Narawi. Beliau dalam ucapannya berkata, tempoh pembinaan projek jalan raya sejauh 17km termasuk pembinaan Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.2km ini selain memudahkan pergerakan dari kawasan Sarikei dan Bintangor ke Tanjung Manis, juga dalam masa yang sama memudahkan para pengusaha membawa keluar masuk input dan ouput pertanian dan perikanan serta perkhidmatan dari Tanjung Manis dengan bandar-bandar utama yang lain seperti Sibu, Kuching, Sri Aman, Bintulu dan Miri. Jalan penghubung ini akan menyediakan pautan terus ke bandar-bandar pesisir di Sarawak.

Julaihi berkata, “usaha untuk membina jalan raya di Sarawak berdepan banyak cabaran dan kekangan selain saiz Sarawak yang luas yang hampir sama besar dengan Semenanjung Malaysia. Cabaran lebih ketara apabila pembinaan jalan raya di kawasan pesisir yang mempunyai jenis tanah yang lembut dan juga tanah gambut selain perlu merentasi banyak sungai di laluan jalan pesisir yang dibina. Ini memberi kesan langsung kepada kos pembinaan jalan pesisir dan jambatan tersebut”, ujarnya lagi.

“Berikutan cabaran dan kekangan ini ditambah lagi dengan saiz Sarawak yang luas, maka jalan pesisir pantai Sarawak dibina secara berperingkat-peringkat malah jalan pesisir ini telah mula dirancang dan dibina sejak Rancangan Malaysia ke-5 lagi” katanya.

Beliau menambah, “kita harus berterima kasih kepada Kerajaan GPS Sarawak hari ini kerana mengambil berat berhubung pembinaan jalan pesisir ini. Keutamaan dan sikap ambil berat ini jelas apabila kedua-dua jalan pesisir pantai dan jalan utama kedua disediakan peruntukan sebanyak RM11 billion oleh Kerajaan Sarawak”, tambahnya lagi.

Namun begitu beliau kesal kerana beberapa projek jalan dan jambatan yang telah dipersetujui bersama Kerajaan Pusat sebelum ini telah ditarik balik. Namun atas keprihatinan Kerajaan GPS Sarawak, Ketua Menteri telah mengambil keputusan untuk mengambil alih dan membiayai sepenuhnya beberapa projek yang terlibat termasuklah Jambatan Rambungan, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lupar yang akan dibina menggunakan sumber kewangan Sarawak sendiri.

Mengakhiri ucapannya beliau menambah bahawa jalan pesisir ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan luar bandar dan pekan kecil di pesisir pantai di mana jalan raya ini akan mengurangkan kos pengangkutan serta logistik bagi perdagangan hasil laut dan juga pertanian penduduk di kawasan pesisir pantai. “ Ini akan membantu para industri dan pengusaha di Sarawak menjadi lebih kompetitif dalam memasarkan hasil keluaran mereka. Mereka juga boleh mendapatkan bekalan bahan mentah dengan lebih cepat dan kos pengangkutan juga lebih berpatutan” katanya mengakhiri ucapan.

Hadir sama pada majlis ini,  kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, serta beberapa pemimpin GPS dan tetamu kehormat yang lain.



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here