Penduduk Kawasan Seberang Hilir Gotong Royong Perangi Denggi

0
108
Dr Abdul Rahman hadir melancarkan Program Gotong-Royong Perdana Mencegah Wabak Denggi Kawasan Seberang Hilir di Tebingan Sungai BGS (Boyan, Gersik dan Sourabaya) hari ini.

KUCHING, 07 Julai 2019 (SNN)- Penduduk kawasan Seberang Hilir hari ini bersama-sama bergotong royong memerangi wabak denggi.  Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setiap lapisan masyarakat harus memberi tumpuan khusus kepada aspek memerangi wabak denggi  Ini kerana denggi masih belum ada ubat khusus untuk merawatnya.

Dr Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Gotong-Royong Perdana Mencegah Wabak Denggi Kawasan Seberang Hilir di Tebingan Sungai BGS (Boyan, Gersik dan Sourabaya)  hari ini.

Beliau yang juga ADUN Pantai Damai menjelaskan, gotong-royong mencegah denggi yang diadakan di Seberang Hilir merupakan antara usaha memerangi wabak tersebut.

“Semua rumah di Seberang Hilir akan terlibat. Setiap penduduk akan membersihkan perkarangan kediaman masing-masing,” ujarnya. Menurutnya, adalah lebih baik untuk masyarakat mencegah dan mengawal denggi daripada terus menular.

“Kita perlu pastikan tempat nyamuk aedes membiak dapat dihapus dengan membuang bekas atau tempat air bertakung. Penduduk setempat perlu mengambil langkah proaktif dan tidak hanya mengharapkan agensi berkaitan dalam memerangi denggi. Sebaik mungkin kita minta agar semua penduduk kampung mengambil bahagian secara aktif dalam program ini dengan membersihkan kawasan rumah masing-masing dan persekitaran kampung. Tolong bersihkan bekas yang menakung air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes”, katanya.

Dr Abdul Rahman juga turut sama bergotong royong membersihkan persekitaran bersama penduduk kawasan Seberang Hilir

Dr Abdul Rahman menegaskan, denggi tidak sepatutnya dipandang ringan kerana ia boleh mendatangkan maut jika lewat dirawat maka sebaliknya ia perlu ditangani dengan baik. Selain denggi menurutnya, penyakit lain yang turut berpunca dari pembawaan nyamuk merangkumi chikingunya, zika dan yellow fever.

Dr Abdul Rahman  menambah, setakat Isnin lepas sebanyak 299 kes denggi disahkan berlaku di Kuching yang merangkumi dua kes di Kampung Boyan dan tiga kes di Kampung Bintawa Tengah.

Gotong royong perdana ini melibatkan semua penduduk dari 12 kampung di Seberang Hilir iaitu Kampung Boyan, Kampung Gersik, Kampung Sourabaya Ulu, Kampung Sourabaya Hilir, Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Panglima Seman Ulu, Kampung Semarang, Kampung Pulo Ulu, Kampung Pulo Hilir, Kampung Bintawa Ulu, Kampung Bintawa Tengah dan Kampung Bintawa Hilir.

Agensi yang terlibat memberi sokongan logistik ialah Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, DBKU, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Daerah Kuching.

Hadir sama ialah Awang Yusof Awang Mustapha Pegawai Daerah Kuching dan Roshidi Junai Pemanca Kuching Utara.

Dr Abdul Rahman turut bergambar bersama sebahagian daripada penduduk yang hadir sama dalam Program Gotong-Royong Perdana Mencegah Wabak Denggi Kawasan Seberang Hilir

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here