Pemegang Pas Lawatan Sosial Tamat Tempoh Dibenarkan Meninggalkan Sarawak

0
241
Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Ken Leben

KUCHING, 08 Mei 2020 (SNN) : Semua warganegara asing serta warga Semenanjung dan Sabah yang menggunakan Pas Lawatan Sosial dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Januari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan untuk meninggalkan Sarawak tanpa perlu pergi ke Pejabat Imigresen bagi tujuan pelanjutan pas.

Menurut Pengarah Jabatan Imigresen Sarawak Datu Ken Leben, sekiranya pemegang pas tersebut mahu tinggal sementara di Sarawak atas sebab yang tidak dapat dielakkan, mereka boleh memohon lanjutan pas.

“Bagaimanapun, keadaan ini hanya terpakai bagi mereka yang menggunakan Pas Lawatan Sosial (Pelancong) dan telah tinggal lebih masa mulai 1 Februari 2020 sehingga 14 hari bekerja selepas tamat tempoh PKPB.

“Lanjutan pas untuk pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang yang telah tinggal lebih masa di Sarawak iaitu mulai 1 Februari 2020 sehingga arahan PKPB ditamatkan pula boleh dibuat di Pejabat Imigresen setelah mendapat tarikh temu janji yang dibuat secara dalam talian,” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, perkhidmatan kaunter Imigresen di UTC Kuching, Sibu dan Miri akan mula beroperasi mulai 12 Mei 2020 dan tertakluk kepada arahan semasa daripada Kementerian Kewangan.

Jelas Datu Ken lagi, semua temu janji untuk perkhidmatan kaunter Imigresen di Bahagian Visa, Pas dan Permit, Bahagian Ekspatariat dan Bahagian Pekerja Asing adalah wajib menggunakan Sistem Temu Janji Online (STO) di pautan www.sto.imi.gov.my boleh diakses mulai 8 Mei.

“Hanya urusan di Bahagian Keselamatan dan Pasport tidak memerlukan temu janji dan orang awam boleh datang terus ke kaunter Imigresen tertakluk kepada Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020,” ujarnya.

Orang ramai juga dinasihatkan untuk melayari portal rasmi www.imi.gov.my dan Facebook Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapat maklumat lanjut tentang tatacara mendapatkan temu janji berurusan di Pejabat Imigresen Malaysia.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Hotline 03-88882010 dan Bilik Gerakan Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak 082-429437.

Sumber: UKAS, Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here