Kerajaan Negeri Sarawak dan PETRONAS Capai Persetujuan Berkaitan Urusan Minyak dan Gas Serta Cukai Jualan Produk Petroleum di Sarawak

0
228
PETRONAS bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak mengenai permohonan Semakan Kehakiman pada 13 Mac 2020 (Gambar hiasan)

Kuching, 09 Mei 2020 (SNN): Kerajaan  Negeri  Sarawak  dan  Petroliam  Nasional  Berhad  (PETRONAS)  telah mencapai kata sepakat dalam perundingan mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak. Kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa  pendekatan  yang  terbaik  dalam  mencapai  penyelesaian bersama ialah melalui penyelesaian komersial bagi mewujudkan suasana perniagaan dan pelaburan yang  lebih  stabil. Ia merupakan  pendekatan  yang  mampan bagi  membolehkan kelangsungan industri minyak dan gas negara terutamanya di dalam keadaan pasaran minyak dan gas yang tidak menentu pada masa ini.

Sehubungan itu, PETRONAS bersetuju akan menarik balik rayuan ke atas keputusan Mahkamah  Tinggi  Sarawak mengenai permohonan Semakan  Kehakiman  pada 13  Mac 2020  dan Kerajaan  Negeri  Sarawak juga akan menggugurkan kesemua tuntutan di dalam kes sivil terhadap PETRONAS untuk bayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Lanjutan daripada penarikan balik semua tatacara perundangan, PETRONAS melalui anak-anak  syarikatnya yang  terlibat,akan membuat bayaran penuh ke  atas  cukai jualan yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak ke atas produk petroleum bagi tahun  2019 berjumlah RM2 bilion iaitu  pada kadar 5% daripada  nilai  jualan produk tersebut.

Kerajaan  Negeri  Sarawak  dan PETRONAS seterusnya bersetuju  bahawa cukai jualan ke atas produk petroleum yang diperuntukkan di bawahState Sales Tax (Taxable  Goods  and  Rate  of  Tax)(Amendment)(No.  2)  Order,  2018(“Order2018”) dikenakan pada kadar yang lebih rendah secara bertempoh berdasarkan rundingan yang  akan  diadakan  kelak.

Kerajaan  Negeri  Sarawak turut bersetuju  bahawa  cukai jualan  akan  terhad  ke  atas  produk  petroleum  yang  diperuntukkan di  bawah Order 2018. Namun  begitu, kesemua surat  cara  dan perjanjian  yang  telah  dipersetujui antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan PETRONAS di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 [Akta 144] masih sah dan berkuat kuasa.

Begitu juga, PETRONAS masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawalselia seluruh pembangunan  industri  minyak  dan  gas di negara ini, selaras  dengan Perlembagaan Persekutuan. PETRONAS    bersama-sama    dengan    Kerajaan    Negeri    Sarawak    akan    terus membangunkan industri minyak  dan  gas  di  negeri berkenaan.

Dalam  pada  itu, PETRONAS  akan  meneruskan  rundingan  dengan  Kerajaan  Negeri  Sarawak  dalam membolehkan   penglibatan   kerajaan   negeri   yang   lebih   aktif   di   dalam   peluang pelaburan di dalam industri minyak dan gas di negeri berkenaan berdasarkan terma komersial. Ini termasuk peluang usahasama di peringkat syarikat operasi di Sarawak.

Datuk Seri Fadillah Yusof

Bagi memastikan pelaksanaan penyelesaian komersial berkenaan, Menteri Kanan merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kewangan Senator Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz dipertanggungjawabkan mempengerusikan jawatankuasa bersama bagi tujuan ini.

Dalam pada itu Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri telah mencapai batu tanda yang penting apabila bersetuju dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dalam mencapai penyelesaian mengenai urusan minyak dan gas serta cukai jualan ke atas produk petroleum di Sarawak selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Dengan adanya penyelesaian seumpama ini, suasana perniagaan dan pelaburan yang lebih stabil dapat diwujudkan bagi memacukan lagi industri berkenaan di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri.

Abang Johari turut berkata Kerajaan Negeri Sarawak merupakan sebuah kerajaan yang praktikal dan ingin meyakinkan pemain industri minyak dan gas bahawa ia sentiasa bersifat mesra perniagaan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri katanya komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan PETRONAS dalam rundingan seterusnya bagi menentukan semua pihak dapat mencapai penyelesaian dan persetujuan bagi isu-isu lain yang berkaitan.

Sumber : UKAS, Utusan Borneo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here