Pembudayaan Nilai Kemanusiaan Melalui Pelaksanaan Projek SULAM

0
355
Warga SULAM Fakulti Alam Bina, UNIMAS di Kampung Sungai Putin, Sadong Jaya.

KOTA SAMARAHAN, 9 Mac 2020 (SNN): Seramai 39 orang pelajar dan enam orang pensyarah UNIMAS telah menyertai Projek Service Learning Malaysia – University For Society (SULAM) bertempat di Kampung Sungai Putin, Sadong Jaya selama dua hari bermula 7 hingga 8 Mac lepas.

Projek SULAM yang dikelolakan oleh Fakulti Alam Bina UNIMAS (FAB) merupakan salah satu inisiatif dari Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menggabungkan pembelajaran di dalam kelas dengan khidmat komuniti.

Dalam ucapan ringkas sempena perasmian projek SULAM, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FAB UNIMAS, Encik Abdul Wafi Razali berkata projek SULAM diterapkan di dalam kursus Building Services yang terdapat dalam dua program FAB iaitu program Senibina dan program Ukur Bahan.

RASMI…En Abdul Wafi Razali selaku Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Alam Bina UNIMAS.
Para pelajar bekerjasama membuat kerja-kerja persiapan sebelum pembinaan dan pemasangan sistem tadahan air hujan dan tapisan di balai raya Kampung Sungai Putin

Beliau berkata, projek tersebut bertujuan untuk membantu menyelesai masalah penduduk di kampung yang terpilih seperti mendapatkan bekalan air yang bersih menerusi sistem tandahan air hujan dan tapisan yang sesuai.

“Masalah yang dihadapi ini diharap akan berkurang dengan pembinaan sistem tadahan air hujan dan tapisan yang sesuai untuk kegunaan penduduk setempat

“Ini bertepatan dengan tanggungjawab UNIMAS dengan menyumbang ilmu pengetahuan serta kepakaran bagi memperbaiki kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat,” ujarnya.

Beliau berkata, adalah diharap projek seperti SULAM dapat membantu mengubah kualiti hidup masyarakat luar bandar dan menjadi platform untuk menyumbang kepakaran serta membudayakan nilai asas kemanusiaan dalam warga UNIMAS.

Sementara itu, dua lokasi di Kampung Sungai Putin telah dipilih dalam projek ini iaitu Balai Raya dan Masjid Kampung Sg Putin.

Para pelajar Fakulti Alam Bina juga telah membuat satu sistem tadahan air hujan dan tapisan untuk digunakan di dua tempat berkenaan bagi memastikan air tadahan hujan berada ditahap yang memuaskan untuk kegunaan penduduk setempat.

Penduduk kampong Sg Putin memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam membantu pelajar-pelajar menyiapkan projek SULAM.  
Penduduk Kampung Sungai Putin bersama-sama pelajar Fakulti Alam Bina sedang giat menyiapkan pemasangan jejaring wayar untuk tujuan penapisan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here