Pelajar Lepasan IPT Tempatan ‘Laris’ Di Pasaran Antarabangsa

0
524
Seramai 132 pelajar dari 13 bidang di Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi menerima Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)

Kuching, 23 Disember 2019  (SNN): Kualiti yang ada pada pelajar lepasan kemahiran di Sarawak laris di pasaran antarabangsa. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni ini terbukti apabila beberapa pelajar lepasan Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi berjaya mendapat pekerjaan di luar negara.

“Keadaan pasaran dunia hari ini yang berteraskan teknologi dan berkemahiran menyebabkan industri di peringkat antarabangsa berlumba-lumba mendapatkan tenaga kerja tempatan berkemahiran.

“Hal ini dibuktikan apabila ramai lepasan pelajar Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi berjaya mendapat pekerjaan yang baik di luar negara khususnya di Singapura termasuk juga Australia, Brunei, Jepun, Korea, China, negara-negara Arab dan Eropah.

“Ini menjadikan pendidikan di negara ini bukan sahaja berkualiti, tetapi juga diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Konvokesyen Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi di Sarawak Islamic Information Center Kuching baru-baru ini.

Seramai 132 pelajar dari 13 bidang di Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi menerima Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang disampaikan Dr Haji Hazland.

Daripada jumlah itu, 15 orang pelajar menerima diploma dan 117 orang pelajar menerima SKM.

Dr Haji Hazland menambah di Sarawak, kerajaan turut memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam melaksanakan beberapa inisiatif kerajaan ke arah pembangunan negeri menjelang 2030.

“Perancangan ekonomi ini melibatkan penyediaan dan penglibatan golongan pakar dan, tenaga mahir dan separa mahir yang diperlukan untuk pembangunan Sarawak.

“Kerajaan Sarawak telah merancang empat kawasan pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Hulu Rejang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HRDA) dan Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) serta Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) yang akan memacu pertumbuhan Sarawak secara keseluruhan.

“Justeru, para pelajar Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi perlu merebut peluang ini dengan mengambil bahagian dalam membawa pembangunan negeri ini ke arah mencapai negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Sarawak akan meneruskan agenda mentransformasikan ekonomi negeri kepada ekonomi digital, seiring dengan trend global semasa.

“Setakat ini pelbagai inisiatif telah dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Sarawak untuk memastikan Sarawak mampu beralih ke ekonomi digital meliputi bidang pertanian, perindustrian, pelancongan dan perkhidmatan kerajaan,” katanya lagi.

Hadir sama pemilik Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi Datuk John Tiong dan ahli-ahli akademik Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi.

Dr Hazland ketika menyampaikan Diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pada Majlis Konvokesyen Kolej AITC dan Kolej Vokasional JT Akademi di Sarawak Islamic Information Center Kuching baru-baru ini.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here