Ops Bersih: 10 Pekerja Bukan Warganegara Ditahan, Premis Makanan Diarah Ditutup

0
382
Bahagian Pelesenan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sarawak (JIMS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa menjalankan Operasi Bersepadu iaitu Ops Bersih di sekitar bandar raya ini malam tadi (Foto- UKAS)

KUCHING, 19 April 2019 (SNN) – Bahagian Pelesenan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Negeri Sarawak (JIMS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan Operasi Bersepadu iaitu Ops Bersih di sekitar bandar raya ini malam tadi.

Bahagian Perhubungan Awam DBKU dalam satu kenyataan media memberitahu, operasi tersebut dijalankan bagi mengesan salah laku premis-premis makanan khasnya di sekitar kawasan Bandaraya Kuching Utara. Menurut kenyataan tersebut, menerusi serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Haji Taha di sini, seramai 10 pekerja bukan warganegara telah ditahan untuk siasatan lanjut atas kesalahan tidak memiliki dokumen permit kerja yang sah. 

“Premis makanan tersebut juga diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tidak mencapai tahap kebersihan minimum premis makanan selain tidak memiliki Lesen Premis Makanan daripada DBKU. Operasi yang bermula pada jam 8.00 malam dan berakhir sekitar jam 10.00 malam itu turut memeriksa dua buah premis makanan lain dan beberapa notis arahan telah dikeluarkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan sama menambah, DBKU memandang serius mengenai perkara ini dan berharap mana-mana pemilik premis yang menggunakan khidmat pekerja asing untuk memastikan mereka mempunyai permit kerja yang sah. Selain itu kata kenyataan tersebut, hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat segelintir premis makanan yang masih mengabaikan tahap kebersihan di premis masing-masing. 

“Pemilik premis adalah diingatkan untuk mendapatkan lesen sebelum beroperasi dan sentiasa menjaga kebersihan premis.Pengendali makanan juga harus mengikuti kursus latihan pengendali makanan di sekolah latihan yang diiktiraf KKM, serta memastikan mereka mendapatkan suntikan vaksin (pelalian anti-Tifoid) daripada pengamal perubatan berdaftar. Kegagalan untuk mematuhi keperluan akan menyebabkan tindakan diambil ke atas pemilik premis,” kata kenyataan itu.

Sambil menambah, kenyataan sama memberitahu, operasi Bersepadu ini akan diadakan secara berterusan dalam usaha menjadikan Kuching sebuah bandar raya yang cantik, bersih dan selamat. – Sumber UKAS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here