Kerajaan Negeri Sarawak Melalui IRSDA Majukan Samarahan, Simunjan dan Sebuyau

0
170
Kedatangan Abang Jo disambut meriah oleh kira-kira 4000 orang ahli GPS dari Zon 5

SEBUYAU, 19 April 2019  (SNN) – YAB Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Openg semalam telah melakukan Tinjauan ke Tapak Projek Pembinaan Chalet Sebuyau serta Pembinaan Masjid Baru Sebuyau dan terus merasmikan Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Zon 5 yang merangkumi Dewan Undangan Negeri N.24 Sadong Jaya, N.25 Simunjan, N.26 Gedong, N.27 Sebuyau, N.28 Lingga dan N.29 Beting Maro bertempat di Dewan Serbaguna Sebuyau.

Seramai lebih 4,000 orang ahli GPS dari Zon 5 dengan penuh semangat melaungkan “Hidup GPS” sejurus ketibaan Abang Jo dari luar hingga ke dalam dewan.Semasa berucap dalam majlis perasmian tersebut, Ketua Menteri menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak (GPS) telah menubuhkan sebuah agensi yang dinamakan Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) untuk merancang dan menyelaraskan pembangunan bagi kawasan Samarahan dan Simunjan termasuk melaksanakan projek pembinaan benteng hakisan pantai yang bernilai RM500 juta dari Sebuyau hingga ke Sadong Jaya dan Asajaya.

Beliau juga menyatakan RM5 billion juga telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak untuk membina lebuhraya pesisir pantai dan RM2 billion untuk pembekalan air bersih seluruh Sarawak dalam tempoh dua tahun.

Mengenai usul untuk meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, beliau menyatakan selaku Ketua Jawatankuasa Pemandu MA63 yang mewakili Sarawak, beliau telah mencadangkan supaya dimasukkan frasa “Pursuant to MA63” dalam cadangan pindaan tersebut untuk menyatakan secara jelas bahawa Persekutuan Malaysia adalah tertakluk kepada MA63.

Beliau turut menegaskan dalam Jadual 9 (2c) Perlembagaan juga menyatakan bahawa Sarawak mempunyai hak dan kuasa ke atas tanah dan sumber yang ada di bumi Sarawak. Dari kuasa dan hak tersebut, maka, melalui kerajaan GPS dan diluluskan dalam Undangan Negeri pada tahun 2018, Sarawak telah mengenakan cukai jualan sebanyak 5% ke atas eksport minyak dan gas.

Hasil cukai tersebut bernilai lebih RM3 billion setahun, dan hasil tambahan inilah yang digunakan untuk membina jambatan-jambatan, jalan pesisir dan bekalan air bersih ke seluruh Sarawak, ujar beliau lagi .

Seramai lebih 4,000 orang ahli GPS dari Zon 5 dengan penuh semangat melaungkan “Hidup GPS” sejurus ketibaan Abang Jo dari luar hingga ke dalam dewan

Abang Jo turut menzahirkan rasa terima kasih di atas keberanian dan ketegasan semua ahli Parlimen GPS yang bertegas dengan keputusan mereka untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dalam MA63.

Perjuangan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Datuk Amar Hj Adenan bin Hj Satem atau Tok Nan mengenai hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan sehingga ia tercapai, tambahnya. Beliau menegaskan, legasi perjuangan Tok Nan mengenai hak-hak keistimewaan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63 akan disambung oleh dirinya dan barisan kepimpinan negeri masa kini.

Jelas beliau, perjuangan MA63 bukannya retorik, tetapi adalah suatu perjuangan yang nyata.

“Perjuangan Allahyarham Tok Nan belum habis lagi, justeru kita tidak menoleh ke belakang lagi, kita akan terus mara ke hadapan.

“Saya juga ingin mengulangi sekali lagi bahawa hanya orang Sarawak sahaja yang mampu menjaga hak Sarawak memandangkan hanya anak jati Sarawak sahaja yang tahu mengenai Sarawak yang terdiri pelbagai kaum, bangsa dan agama,” katanya

Abang Jo menambah, jawatankuasa mengkaji MA63 juga telah diwujudkan untuk membincangkan hal-hal berkaitan berkaitan MA63. Tegas beliau, tanpa adanya MA63 tersebut maka tidak wujudnya satu negara yang dikenali sebagai Malaysia hari ini. “Kita mahukan hak-hak Sarawak yang terhakis selama ini dikembalikan semula dan jangan jadikan Sarawak macam anak tiri atau kerana Sarawak adalah “equal partner” dalam penubuhan Malaysia,” ujar beliau.

Abang Jo sebelum itu telah melakukan tinjauan ke Tapak Projek Pembinaan Chalet  Sebuyau dan Tapak Projek Pembinaan Masjid Baru Sebuyau di sini. Hadir sama, kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, juga beberapa pemimpin tertinggi daripada 4 komponen GPS iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP.

Abang Jo memukul gendang sebagai simbolik perasmian Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Zon 5 yang merangkumi Dewan Undangan Negeri N.24 Sadong Jaya, N.25 Simunjan, N.26 Gedong, N.27 Sebuyau, N.28 Lingga dan N.29 Beting Maro bertempat
di Dewan Serbaguna Sebuyau.
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here