Mohd Tarmizi Iringi Jenazah Anaknya Muhammad Haziq

0
345
Allahyarham Muhammad Haziq

CHRISTCHURCH, 21 Mac 2019 (SNN) – Mohd Tarmizi Iringi sendiri jenazah anaknya Muhammad Haziq, 17 yang maut dalam serangan pengganas kulit putih di dua masjid di Christchurch pada Jumaat 15 Mac 2019 lalu. Allahyarham selamat dikebumikan jam 12 tengah hari tadi waktu Malaysia (5 petang waktu New Zealand). Allahyarham selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurch. Ayah arwah, Mohd Tarmizi  mengiringi sendiri jenazah anak lelakinya, Muhammad Haziq sewaktu pengebumian yang turut disertai ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran.

Ibu dan kakak arwah Muhammad Haziq dilaporkan telah membuat keputusan untuk tidak berada di tempat pengebumian sebaliknya hanya berada di rumah kerana ingin bersendirian dan memilih untuk menziarahi pusara anaknya kemudian.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi New Zealand, meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga arwah mangsa dan tidak bersikap keterlaluan dalam mendapatkan maklumat buat masa sekarang.

Muhammad Haziq merupakan antara 50 mangsa yang terkorban selepas tragedi serangan pengganas yang berlaku di Masjid Al-Noor pada Jumaat lepas. Bagaimanapun, perincian masa dan lokasi jenazah Mohd Haziq ditemui tidak boleh didedahkan kerana tertakluk dengan akta privasi New Zealand.

Terdahulu, Mohd Haziq telah dilaporkan hilang selepas serangan pengganas di masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat lepas. Ibu Mohd Haziq memaklumkan bahawa Mohd Haziq pergi menunaikan solat Jumaat bersama ayah dan adiknya, tetapi selepas serangan pengganas tersebut Mohd Haziq masih tidak ditemui.  Usaha mengesan remaja itu sedang dilakukan oleh polis New Zealand berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada ibunya. Ibu Mohd Haziq berusaha bekerjasama dengan pihak polis untuk memberikan nama yang betul, gambar yang betul kerana memang ada mayat-mayat yang belum dikenal pasti, jadi mereka harus membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum ada apa-apa kenyataan daripada polis dilakukan.

Mohd Haziq  merupakan anak kedua kepada Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor. Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Mohd Haziq 17, hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris telah terselamat tetapi masih  trauma manakala bapa mereka parah ditembak dan masih menjalani rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas Pulau Pinang dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor. Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.

Insiden serangan pengganas  di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada Jumaat ,15 Mac 2019, jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu. Polis New Zealand pula dalam kenyataannya di Facebook berkata, setakat ini 12 mangsa terbunuh sudah dikenal pasti.

Proses pengesahan identiti mangsa serangan Jumaat lalu memerlukan tempoh masa yang agak panjang,  namun  pihak berkuasa New Zealand berusaha mempercepatkan proses memandangkan situasi yang agak kompleks.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here