Mini Film Festival UNIMAS Pentas Iktiraf Pengiat Filem Asia Tenggara

0
37
Dekan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Prof. Madya Dr. Musdi Shanat dan tetamu kehormat mengambil gambar bersama setelah selesainya malam anugerah MFF ke-15.

Kota Samarahan, 28 Mei 2019 (SNN)-  Mini Film Festival (MFF) UNIMAS ternyata merupakan pentas bagi mengiktiraf pengiat filem Asia Tenggara. Mini Film Festival yang diadakan bagi meraikan hasil kerja para pengiat filem dari seluruh Asia Tenggara ini telah berjaya dianjurkan di Panggung Eksperimen, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) UNIMAS baru-baru ini.

Lebih kurang 300 orang telah menghadiri festival filem berkenaan yang turut menyaksikan 23 penganugerahan filem disampaikan dengan juruacara majlis oleh  penyanyi dan pelakon tempatan, Anding Indrawani dari Akademi Fantasia 2.

Dalam majlis tersebut, Arjanmar Rebeta (Filipina) dengan filem bertajuk “A Country in Moving Pictures” telah memenangi Anugerah Filem Terbaik bagi kategori Asia Tenggara sementara kategori Malaysia pula dimenangi oleh Jun Yap Won untuk filem bertajuk “Block A-2-15”.

Pelajar SMK Tok Janggut dari Kelantan, Muhammad Alif Ikhwan Bin Mohamad Nawi telah memenangi Anugerah Filem Terbaik bagi kategori sekolah Malaysia manakala bagi kategori universiti Malaysia telah dimenangi oleh Fahmi Sani dari Sunway University dengan filem bertajuk “Jo: A Love Story”.

Pengarah Mini Film Festival ke-15, Mohd. Affendi Azizan berkata pihaknya amat gembira diberi peluang untuk menganjurkan acara tersebut yang dapat meraikan kerja keras para pengiat filem di seluruh Asia Tenggara.

“Pelbagai cabaran telah ditempuhi dan atas sokongan semua, acara ini dapat dijayakan. Kami berharap agar pada tahun akan datang, kita dapat menyediakan pentas lebih besar untuk pengiat filem Asia Tenggara mempamerkan filem mereka dan menjadi platform kepada pelajar untuk mengasah kebolehan dalam penganjuran sebegini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, turut diadakan pada malam tersebut ialah persembahan dari kumpulan indie tempatan seperti Tikar Terbang, Drasska dan Umar and Friends yang telah memberi persembahan yang menarik.

Pelajar dari SMK Tok Janggut, Muhammad Alif Ikhwan (kanan) menerima trofi untuk Anugerah Filem Terbaik (kategori sekolah) daripada En. Nova Goh (tengah), seorang pembikin filem Sarawak dan juga juri untuk MFF ke-15. 
 
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here