Miliki Kemahiran Digital Mudahkan Peluang Kerja

0
98
Siti Raudzah dan Gan bergambar bersama pemenang “Top 10 Preferred Companies in Sarawak” bersempena dengan Event Networking Human Resources (HRNE) anjuran JobStreet dengan kerjasama UNIMAS Sarawak

Kota Samarahan, 9 April 2019 (SNN) – Miliki kemahiran digital mudahkan peluang kerja.JobStreet.com baru-baru ini telah menjalankan tinjauan/ kajiselidik untuk mengenal pasti 10 syarikat terunggul yang paling terkemuka di Sarawak. Penyelidikan Top 10 Companies 2019 tersebut telah melibatkan lebih daripada 1125 pencari kerja di Sarawak untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik secara atas talian tersebut.

Hasil kajian menunjukkan bahawa syarikat minyak dan gas kekal sebagai industri/ syarikat yang paling tinggi kadar carian di kalangan para pencari kerja di Sarawak yang telah mendaftar dengan JobStreet.com, dengan kedudukan dua tempat teratas. PETRONAS mengungguli senarai sebagai firma minyak negara yang mendapat tempat teratas, diikuti oleh syarikat minyak Shell.

Seterusnya, Sarawak Energy menjadi pilihan yang ketiga, manakala Cahaya Mata Sarawak (CMS) dan Air Asia menduduki tempat keempat dan kelima. Maybank, Naim Holdings Berhad, Kumpulan Syarikat Shin Yang, Petros dan Sime Darby adalah antara syarikat yang tersenarai dalam senarai kedudukan 10 teratas.

Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa warga Sarawak mengutamakan pembangunan kerjaya sebagai pilihan utama selepas reputasi sesebuah syarikat. Kadar gaji pula kekal sebagai salah satu daripada tiga  keperluan dan pertimbangan tertinggi bagi kalangan pencari kerja di Sarawak di semua peringkat kedudukan.

Seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Tinjauan Kerja Jobstreet 2019, dalam era ekonomi digital baru ini terdapat permintaan yang tinggi untuk mereka yang memiliki kemahiran digital tetapi bekalan bakat tersebut ternyata terhad di pasaran. Oleh itu, ramai majikan yang bersaing untuk mencari mereka yang memiliki kemahiran dalam bidang ini, dan dalam masa yang sama memenuhi keperluan dan kemahiran lain yang diperlukan.

 “Seperti yang dikemukakan juga dalam kaji selidik Top 10 Companies 2019, bidang pembangunan pekerja boleh memberi peluang yang baik untuk majikan dan pencari kerja” kata Gan Bock Herm, Pengurus JobStreet.com Malaysia. “Malah, lima daripada 10 syarikat teratas yang menjadi pilihan pencari kerja di Sarawak merupakan syarikat/ majikan yang berada/ berasal di Sarawak. Ini juga membuktikan bahawa syarikat tempatan berkeupayaan untuk bersaing dengan syarikat multinasional asing  dalam usaha untuk menarik minat golongan pencari kerja ” ujarnya.

Pengarah Kanan Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS, Profesor Dr Siti Raudzah Ghazali mengucapkan tahniah kepada semua syarikat yang memenangi Anugerah “Top 10 Preferred Companies in Sarawak” dan beliau yakin UNIMAS akan terus menghasilkan graduan yang berkualiti untuk memenuhi keperluan sektor pekerjaan yang semakin meningkat seperti yang diperlukan oleh syarikat/ majikan.

Anugerah “Top 10 Preferred Companies in Sarawak” telah disampaikan oleh Profesor Dr Siti Raudzah Ghazali bersempena dengan Event Networking Human Resources (HRNE) anjuran JobStreet dengan kerjasama UNIMAS Sarawak.

Kedua-dua JobStreet dan UNIMAS, dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri Sarawak juga telah bekerjasama untuk melancarkan laman web bagi pencari kerja di Sarawak untuk memohon pekerjaan di Sarawak. Laman web ini ( Sarawak Online Career ) juga sebagai inisiatif untuk membawa masuk golongan yang berkemahiran dari negara luar dan negeri-negeri lain di Malaysia. Gan dan Profesor Dr Siti Raudzah Ghazali bersama merasmikan acara pembukaan HRNE tersebut di CAIS, UNIMAS hari ini. Laman web kerja tersebut boleh diakses di www.jobstreet.com/my/sarawakjobs.

Prof Dr Siti Raudzah dan Gan melancarkan “Sarawak Online Career” website di CAIS, UNIMAS hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here