Masyarakat Saratok Disaran Perkasakan Peranan Perpustakaan

0
1255
Antara sebahagian peserta yang hadir untuk mengikuti pelbagai aktiviti dan program yang diadakan sempena Hari Terbuka Perpustakaan Awam Saratok 2019

Saratok, 13 April 2019 (SNN)- Masyarakat Saratok disaran memperkasakan peranan perpustakaan sebagai landasan untuk menyokong ke arah pembinaan masyarakat yang berilmu dan berpengetahuan tinggi. Malahan perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai medan untuk menyemai dan memupuk budaya rajin membaca di kalangan ahli masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N38 Kalaka, merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak, YB Datuk Hj Abdul Wahab Bin Aziz berkata demikian semasa merasmikan Hari Terbuka Perpustakaan Awam  Saratok 2019 anjuran Majlis Daerah Saratok.

Menurut Abdul Wahab, “tujuan hari terbuka perpustakaan awam ini dibuat adalah untuk menyemai dan memupuk budaya membaca di kalangan komuniti Saratok khasnya. Perpustakaan merupakan sebuah tempat di mana kita membaca buku, menimba ilmu, berkumpul, berkongsi pendapat dan juga pengalaman tanpa mengira peringkat umur”. Justeru beliau menyeru semua pihak untuk sama-sama menyemai minat rajin membaca serta dalam masa yang sama mengimarahkan perpustakaan.

Dalam ucapannya Abdul Wahab turut menyeru semua pihak, termasuk ahli pustakawan dan perpusakaan untuk turut sama menggembleng tenaga dan usaha bagi mempertingkatkan pembangunan perpustakaan sebagai salah satu daripada agenda negara dalam mewujudkan masyarakat yang minat membaca dan berilmu pengetahuan.

Pelbagai aktiviti dan program telah dirancangkan sempena Hari Terbuka Perpustakaan Awam Saratok 2019, antaranya termasuklah senamrobik, pertandingan mewarna, pertandingan bercerita, plogging run, taklimat i-Learn ACE, pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, car boot sales dan sesi ‘jom daftar keahlian perpustakaan’.

Abdul Wahab menyerahkan Portal i-Learn ACE kepada guru besar
SK Abang Abdul Rahman, Hjh Razenah

Pada majlis ini Abdul Wahab menyerahkan Portal i-Learn ACE kepada dua buah sekolah rendah di Daerah Saratok iaitu SK Abang Abdul Rahman dan SJKC Min Syn yang diterima oleh guru besar sekolah masing-masing. Abdul Wahab juga menyampaikan hadiah berupa latop kepada adik Nur Hazasyamila bt Jasamani yang telah dipilih sebagai pelajar terbaik dalam penggunaan i-Learn ACE di kalangan pelajar sekolah rendah di Daerah Saratok.

Pada hari yang sama turut berlangsungnya pertandingan bercerita, pertandingan mewarna dan acara plogging run. Seramai 11 orang peserta telah mengikuti pertandingan bercerita, 50 orang peserta mewarna, dan 300 orang peserta pula  menyertai plogging run.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Saratok, Cr Hj. Mohd Duri, Guru Besar SK Abang Abdul Rahman, Guru Besar SJKC Min Syn, Penghulu Montel Bin Morsidi serta ahli-ahli Majlis yang lain.  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here