Majlis Pelancaran Jelajah Belia Sarawak 2019 Berjaya Himpunkan Lebih 1000 Belia

0
219
Abdul Karim semasa merasmikan Pelancaran Jelajah Belia Sarawak 2019 di Kompleks Sukan Asajaya. Turut kelihatan Snowdan , Rubiah serta tetamu kehormat yang lain

Asaja, Samarahan, 13 April 2019 (SNN)- Majlis Pelancaran Jelajah Belia Sarawak 2019 hari ini berjaya himpunkan lebih 1000 orang golongan belia daripada kawasan Samarahan. Golongan belia negeri ini terutamanya di Samarahan merupakan generasi yang penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan Sarawak.  Mereka harus mengutamakan pendidikan dan melibatkan diri dalam program-program kepimpinan”.  Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Belia dan Sukan Sarawak, YB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata semasa Majlis Pelancaran Jelajah Belia Sarawak 2019 di Kompleks Sukan Asajaya di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, berdasarkan statistik semasa, jumlah belia dianggarkan seramai 1.97 juta orang daripada 2.8 juta penduduk di negeri ini. Menurutnya, dalam konteks ini golongan belia seharusnya menjadi penggerak yang memacu Sarawak ke tahap yang diimpikan oleh pemimpin utama negeri.

“Belia-belia yang ada pada masa sekarang yang akan menggantikan kepimpinan yang ada pada masa depan. Justeru, golongan belia harus berani tampil ke hadapan mengambil tampuk utama transformasi negeri apabila sudah tiba masa kelak”.

“Golongan belia mencerminkan harapan masa depan Sarawak, saudara saudari semua adalah penting untuk masa depan negeri ini,” ujarnya.

“Program Jelajah Belia Sarawak 2019 ini akan melibatkan 40 daerah di Sarawak dengan jangka masa dua tahun , iaitu tahun 2019 ( 20 daerah ) dan tahun tahun 2020 ( 20 daerah ). Ini bermaksud program ini disasarkan untuk diadakan di 20 daerah pada tahun 2019 dan 20 lagi pada tahun 2020. Pihak kementerian bercadang menganjur tiga jelajah dalam setiap bulan dengan sasaran 20 daerah dari April hingga Disember 2019 disusuli 20 lagi daerah dari Januari hingga Disember 2020. Untuk tujuan itu, kementerian  telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.1 juta”, kata Abdul Karim lagi.

“Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan penglibatan belia dan persatuan di dalam program yang dianjurkan oleh kerajaan dan untuk memupuk semangat juang terhadap belia aktif yang bertanggungjawab, bersatu padu dan patriotik,” tambahnya.

Antara program dan aktiviti yang akan diadakan termasuk sesi  Sembang Belia Bersama Menteri, Motivasi Bersama Ikon Belia Sarawak, Konsert Jelajah Belia Sarawak, acara pencarian bakat ‘ Belia Got Talent’, ‘Sarawak Youth Engagement Concert’, sesi pengenalan bola sepak jalanan, bola jaring, sukaneka, sukan rakyat, gerai jualan, juga pertandingan aktiviti belia-belia tempatan. Terdapat juga gerai jualan yang akan dilaksanakan oleh belia sendiri di mana mereka boleh menjual produk mereka sepanjang program.

“Pogram ini juga bertujuan mempertingkatkan penglibatan belia dan persatuan dalam program anjuran kerajaan. Dalam masa yang sama kita juga mahu mencungkil, mengasah dan memberi peluang kepada belia setempat untuk mengetengahkan bakat dan potensi mereka”, katanya lagi.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Residen Daerah, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Pendidikan Kesihatan Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pendaftar Pertubuhan Remaja (ROY) , Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi MARA Sarawak (UiTM), Institut pengajian tinggi (Awam) / Institut pengajian tinggi (swasta) dan sekolah -sekolah.

Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya kemudian mengalukan kedatangan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program Jelajah Belia Sarawak 2019. Katanya, beliau berasa cukup bangga apabila Asajaya dipilih sebagai daerah pertama bagi permulaan program Jelajah Belia Sarawak 2019.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad, Residen Samarahan Ibrahim Lumpu, Pengerusi MPKS Dato Peter Minos, Exco Saberkas Dato Ahmad Ibrahim, Datin Zuraini Abdul Jabbar dan tetamu kehormat yang lain.

Abdul Karim semasa Sesi Sembang Belia yang diadakan sejurus selepas Majlis Pelancaran Jelajah Belia Sarawak 2019
 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here