Mangsa Kebakaran Di Kampung Sejingkat Ulu Akan Dibantu

0
187
Dr Hazland ketika melawat mangsa kebakaran di Kampung Sejingkat Ulu

KUCHING, 19 Oktober 2019 (SNN): Mangsa kebakaran di Kampung Sejingkat Ulu akan segera dibantu berdasarkan kepada keperluan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata kita akan mengenal pasti jenis-jenis bantuan yang akan disalurkan kepada keluarga mangsa.

“Ketika ini, beberapa pilihan telah dikenal pasti untuk membantu keluarga mangsa.

“Mereka akan dibantu bagi membolehkan keluarga mangsa mendapat bantuan mengikut keperluan mereka.

“Bantuan itu turut termasuk rumah mangsa yang terkena tempias daripada kebakaran itu,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa Kamri bin Bee dan keluarganya serta menyampaikan sumbangan kilat kepada mangsa kebakaran di Kampung Sejingkat Ulu, petang Khamis lepas.

Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni turut mengucapkan terima kasih kepada jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak yang turut menghulur bantuan kepada mangsa kebakaran.

“Terima kasih kepada jabatan dan agensi Kerajaan Sarawak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dan Tabung Baitulmal Sarawak yang turut menyerahkan bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa,” ujarnya.

Dalam kejadian petang Rabu lepas, sebuah rumah yang dihuni lapan orang sekeluarga telah terbakar di Kampung Sejingkat, Jalan Bako.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Sementara itu, dalam kenyataan media Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah mengerahkan seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Tabuan Jaya, Padungan dan Petra Jaya ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran tersebut.

“Kebakaran hanya melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang telah terbakar sepenuhnya. Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak jam 3.42 petang dan padam sepenuhnya jam 5.17 petang,” katanya.

Sehingga kini, pihak Bomba Unit Forensik Kebakaran sedang menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian dalam kejadian tersebut.

Dr Hazland turut menyampaikan sumbangan kilat kepada mangsa kebakaran Kamri bin Bee dan keluarganya
Rumah yang dihuni lapan orang sekeluarga ini telah terbakar sepenuhnya di Kampung Sejingkat Ulu, Jalan Bako

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here